Isu kerakusan perlombongan bauksit di Kuantan bukan sahaja menyebabkan pencemaran tahap kritikal terhadap penduduk tempatan bahkan turut memakan korban pengguna jalan raya.
Petang semalam, Norhaili Ahmad Zabidi, 40, maut selepas kereta dinaikinya dihempap tayar lori yang membawa muatan bauksit dari arah Kuantan menghala ke Pelabuhan Kuantan.
Guru Sekolah Kebangsaan Balok itu meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala manakala suaminya, Raziamir Muhammad Razali, 42, yang memandu Myvi itu tidak mengalami kecederaan.
Sementara itu, saksi dilaporkan berkata, lori berkenaan dipandu laju sehingga beberapa ketulan batu jatuh dan tayar kanan kenderaan berat itu bergegar sebelum tercabut dan terpelanting ke laluan bertentangan.
Mohamad Ridzuan Hamzah, 39, memberitahu beliau terpaksa memperlahankan kenderaan ketika dalam perjalanan ke tempat kerja di Gebeng apabila mendapati lori yang diekori itu bergerak dengan kelajuan kira-kira 110 kilometer sejam.
“Tayar itu kemudiannya menghempap sebuah kereta Perodua Myvi dinaiki mangsa bersama suaminya. Saya seperti tidk percaya dengan apa yang disaksikan.
“Kejadian ini sungguh menyayat hati. Bayangkan betapa beratnya tayar lori itu sehingga kereta dinaiki mangsa hampir terbelah,” ujarnya.
Dalam hal berkaitan, saksi Muhammad Azhar dalam Facebook Warga Kuantan turut mengakui lori membawa bauksit dengan nombor plat pendaftaran MAA 1595 itu dipandu laju ketika kejadian yang berlaku pukul 2.35 petang itu.
Sementara itu, pihak polis mengesahkan lori terbabit yang ditinggalkan pemandunya sejurus selepas tragedi tersebut didaftarkan atas nama seorang lelaki dari Puchong, Selangor.
Pegawai Turus Trafik Pahang, Deputi Superintenden Ahmad Nazri Zainal dilaporkan berkata, polis masih meneruskan siasatan berhubung kejadian tersebut di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.