Pendaftaran Undi18 secara automatik tidak dilaksana pada PRN12 Sarawak

Oleh KIM SYAZIE

Kelayakan umur pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik tidak akan dilaksanakan pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 (PRN12) yang akan diadakan pada 18 Disember depan.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Dato Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar (gambar), walaupun kerajaan telah mewartakan arahan tersebut, namun PRN12 pada kali ini hanya melibatkan Daftar Pemilih Pilihan Raya terkini yang dikemas kini sehingga 2 November 2021.

Katanya, daftar pemilih pilihan raya tersebut telah diperakui sebelum pengisytiharan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang Ke-11 pada 3 November 2021, selaras dengan Peraturan 9 Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002.

“Keputusan ini adalah berdasarkan proses undang-undang, termasuklah keputusan yang telah ditetapkan oleh Mahkamah Tinggi Kuching, dan bukannya untuk menafikan atau mengetepikan hak dan hasrat para belia yang berumur 18 tahun ke atas untuk mengundi.

“Saya ingin menjelaskan di sini bahawa tiada desakan dari mana-mana pihak dalam isu ini. Malah, Sarawak semenangnya sudah bersedia untuk menerima pengundi-pengundi muda ini. Saya berharap isu ini janganlah dipolitikkan,” kata Wan Junaidi dipetik dalam laporan Bernama di Kuala Lumpur hari ini.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) memaklumkan bahawa Seksyen 3(a) dan Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019 berhubung dengan had kelayakan umur pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik telah diwartakan pada 1 Disember 2021 dan akan berkuat kuasa pada 15 Disember 2021 setelah mendapat perkenan daripada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Pada 3 September lalu, Mahkamah Tinggi Kuching telah memerintahkan SPR dan kerajaan untuk melaksanakan Undi 18 dan pendaftaran pemilih secara automatik selewat-lewatnya pada 31 Disember tahun ini.