Individu yang mendedahkan maklumat kepentingan perniagaan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berdepan tindakan saman RM10 juta, dakwa pensyarah ekonomi, Prof Dr Edmund Terence Gomez.
Menurutnya, individu tersebut menerima surat tuntutan (LOD) daripada peguam Azam, hari ini dan dituntut membuat permohonan maaf terbuka serta membayar ganti rugi RM10 juta.
“Saya amat terkejut, pemberi maklumat ini yang membangkitkan persoalan sah berkepentingan negara, kini disaman oleh Azam.
“Apa yang Azam sepatutnya lakukan ialah mendedahkan semua kepentingan perniagaannya secara terbuka demi menjaga imej dan integriti SPRM,” lapor BH.
Sehubungan itu, Edmund yang juga bekas ahli panel Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) menggesa Azam supaya segera menarik balik LOD tersebut dan menghentikan cubaannya untuk menjadikan pendedah maklumat sebagai mangsa.
“Dengan menghantar surat tuntutan ini kepada pemberi maklumat, apa yang berlaku kini tidak lebih daripada ugutan serius oleh Azam.
“Jika pemberi maklumat diancam dengan cara ini oleh mereka yang berkuasa iaitu trend yang sudah lama kita lihat di Malaysia, bagaimana kita boleh mendorong rakyat mendedahkan rasuah dan melindungi mereka kerana berbuat demikian,” tegasnya.
Kontroversi membabitkan Azam dilihat berlanjutan walaupun semalam beliau menafikan sekeras-kerasnya dakwaan berkaitan pemilikan saham dengan jumlah yang melampau.
Azam yang sudah berkhidmat sebagai penjawat awam selama 37 tahun berkata, adiknya, Nasir Baki menggunakan akaun sahamnya untuk membuat urus niaga melalui pasaran terbuka.
Walau bagaimanapun, katanya, saham-saham itu dibeli menggunakan pembiayaan dan saham-saham syarikat yang dibeli oleh Nasir yang kemudiannya telah pun dipindahkan kepada akaun milik adiknya.