Pendedahan rancangan rampasan kuasa 3 Tan Sri: PM dituntut tubuh RCI

Oleh BORHAN AHMAD

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri didesak menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan cubaan untuk rampasan kuasa dengan menangkap perdana menteri Datuk Seri Najib Razak  menjelang satu mesyuarat Kabinet pada Julai 2015 lalu.

Dakwaan ini dibuat melalui satu buku yang ditulis oleh Bekas Penasihat Komunikasi Najib, Romen Bose yang bakal diterbitkan minggu depan.

Menurut ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang buku bertajuk “Final Reckoning: An Insider’s View of the Fall of Malaysia’s Barisan Nasional Government” menceritakan dengan terperinci bagaimana usaha itu hendak dijalankan.

Buku itu menceritakan, satu usaha rampasan kuasa dirancang oleh tiga Tan Sri itu sepatutnya berlangsung pada 29 Julai 2015 di Pejabat Perdana Menteri menjelang mesyuarat Kabinet.

Tiga Tan Sri itu adalah Gabenor Bank Negara Malaysia Zeti Akhtar Aziz, Peguam Negara Abdul Gani Patail and Ketua Pesuruhajaya SPRM, Abu Kassim Mohamed.

Ketiga-tiga mereka adalah anggota utama Task Force 1MDB yang dibentuk bagi menyiasat dakwaan yang dibuat oleh Wall Street Journal dan Sarawak Report sebelum itu.

Selain ketiga-tiganya, turut terlibat adalah timbalan Najib, Tan Sri Mahiaddin Md Yassin dan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Shafie Apdal.

Namun rancangan itu gagal apabila sehari sebelumnya Mahiaddin dan Gani Patail dipecat.

Porter berita Free Malaysia Today melaporkan penulis buku itu berkata:

“Dua hari selepas artikel itu muncul (menggunakan dokumen yang didakwa dibocorkan oleh Bank Negara, kamar AG dan SPRM), satu mesyuarat sulit pasukan petugas diadakan untuk merancang penyingkiran dan penahanan perdana menteri.

“Abu Kassim didakwa mengetuai gesaan penahanan itu walaupun pasukan petugas itu tidak mempunyai bukti kukuh yang menunjukkan kesalahan Najib. Apa yang mereka ada hanyalah spekulasi dan rasa hati.

“Draf kertas pertuduhan didakwa dibuat oleh pegawai Abu Kassim, mendakwa Najib telah menerima rasuah RM27 juta berserta pecah amanah jenayah sebagai pertuduhan alternatif. Ini kemudiannya didakwa ditukar kepada penyelewengan jenayah.”

Bose menulis dalam buku itu, pegawai kanan polis yang setia kepada komplot akan ditempatkan di pejabat perdana menteri di Perdana Putra sebelum ketibaannya, dengan pegawai yang setia kepada timbalan ketua Cawangan Khas Abdul Hamid Bador mengiringi Gani ke bilik mesyuarat.

Sebaik sahaja Najib tiba, Gani didakwa akan menghadap Kabinet dan membacakan pertuduhan terhadap Najib dan mengumumkan penahanannya.

Polis kemudiannya didakwa akan menyerbu bilik Kabinet dan menggari Najib, mengiringinya ke kenderaan polis yang menunggu dengan beg hitam di atas kepalanya.

Muhyiddin kemudiannya akan mempengerusikan mesyuarat Kabinet, kata Bose, dengan semua menteri dijangka berikrar taat setia kepada beliau sebagai perdana menteri seterusnya.

Mereka yang bertanggungjawab bagi rampasan kuasa itu didakwa juga merancang untuk mendapatkan “hakim yang tegas” untuk menerima draf pertuduhan dan mengarahkan penahanan segera Najib.

Bose menulis bahawa “pada satu pagi, beberapa orang yang terlibat dalam komplot utama didakwa telah dineutralkan tanpa sebarang keganasan atau pertumpahan darah, dan rampasan kuasa yang dikatakan dirancang telah digagalkan – gaya Malaysia”.

Lim Kit Siang menyifatkan minggu itu sebagai “Minggu Pisau Panjang Julai/Ogos 2015”.

“Saya diberitahu pada hujung minggu sebelumnya mengenai penahanan Najib yang “akan datang” itu.

“Rakyat Malaysia berhak mengetahui apa yang berlaku sebagaimana dakwaan buku Bose ‘Final Reckoning: An Insider’s View of The Fall of Malaysia’s Barisan Nasional Government’ yang akan mula dijual pada minggu depan dan hanya Suruhanjaya Siasatan Diraja boleh menjalankan tugas itu.

“Adakah Ismail Sabri akan menubuhkan RCI untuk menyiasat secara mendalam dakwan buku “Minggu Pisau Panjang Julai/Ogos 2015″?” tanya veteran DAP itu dalam kenyataannya.