Penduduk makin berang, MB Pahang digesa hentikan perlombongan bauksit

Oleh MALAYSIADATELINE

Kerajaan Negeri Pahang  di bawah kepimpinan Menteri Besarnya Datuk Seri Adnan Yaacob, digesa mengambil tindakan segera dengan memberhentikan semua aktiviti perlombongan bauksit.

Ahli Dewan Undangan Negeri Beserah, Andansura Rabu, berkata penduduk kini semakin berani bertindak sendiri dengan membakar lori bauksit kerana kecewa dengan tindakan Kerajaan Pahang yang gagal menangani masalah itu.

Katanya melihat trend kemarahan itu, Kerajaan Pahang perlu segera menangani masalah itu sebelum tercetusnya masalah lebih rumit.

“Kerajaan Pahang tidak boleh melengah-lengahkan lagi perkara itu dan saya bimbang kejadian sama terus berulang memandangkan ini kali keenam kejadian lori terbakar berlaku.

“Jadi dalam hal ini, Kerajaan Pahang atau pihak berkenaan perlu membuat sesuatu agar masyarakat tidak bertindak sendiri kerana ia boleh mengundang sesuatu lebih teruk lagi berlaku,” katanya dalam kenyataan media di sini.

Menurutnya, kebangkitan masyarakat di Pahang dapat dilihat selepas kejadian maut membabitkan seorang guru akibat ditimba tayar lori bauksit yang tercabut dan terpelanting.

“Selepas tragedi itu, masyarakat mula melihat kegagalan pihak berkuasa menangani dan mengambil tindakan sewajarnya berhubung masalah itu.

“Alasan ini menyebabkan masyarakat nekad untuk mengambil tindakan sendiri dan ini mengundang pelbagai kejadian tidak diingini,” katanya.