Baru-baru ini tular satu rakaman memaparkan penduduk di sebuah kawasan perumahan membanjiri perkarangan salah satu kediaman di situ untuk merasai suasana musim salji.
Namun yang mencuri perhatian orang ramai adalah lokasi kediaman tersebut kerana ia bukan terletak di luar negara sebaliknya di Teluk Air Tawar, Butterworth, Seberang Perai Utara di Pulau Pinang.
Menerusi rakaman berdurasi 27 saat itu, kelihatan ramai penduduk tanpa mengira umur berkerumun di kediaman tersebut untuk merasai suasana salji buatan dan merakam detik indah tersebut sebagai kenangan.
Mereka yang berkunjung terdiri dari masyarakat berbilang bangsa dan agama di mana rata-ratanya teruja melihat begitu banyak hiasan bertemakan Krismas serta hujan salji di kediaman tersebut.
Pemilik kediaman itu turut memasang lampu berwarna-warni di sekeliling bangunan bagi memeriahkan suasana malah patung Santa Claus yang besar bersama rusa juga terlihat dalam rakaman itu.
“Hari ini depa (mereka) meraikan orang ramai dengan memasang mesin salji pula. Meriah suasana Teluk Air Tawar lani (sekarang),” kata perakam video yang memuat naik perkongsian itu di platform TikTok.
Setakat artikel ini ditulis, rakaman tersebut sudah berjaya meraih sebanyak 1 juta tontonan dan 41,200 tanda suka daripada pengguna TikTok yang rata-ratanya berkongsi rasa teruja ketika menontonnya.
Ramai pengguna meluahkan rasa kagum kerana pemilik rumah sanggup mengeluarkan belanja yang agak banyak untuk memeriahkan suasana perayaan dan meraikan pengunjung.
Segelintir besar pengguna turut berkongsi rasa bahagia apabila melihat masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum dapat berkumpul bersama-sama tanpa sebarang persengketaan.
“Mesin mengeluarkan salji ini semua kosnya tidak murah ya. Semoga semakin diperluaskan lagi rezeki tuan rumah ini kerana bahagiakan orang ramai,” kata seorang pengguna meluahkan rasa terharu.
“Seronok kalau macam ini. Melayu, Cina, India berkumpul ramai-ramai tanpa berbangkit apa-apa isu yang sensitif. Kalaulah kita boleh kekal macam ini sampai bila-bila.” Kongsi pengguna lain.
Baca juga: Betul ke buka dobi paling mudah buat duit? Ini anggaran kos dan keuntungan anda perlu tahu