Seorang lelaki warga emas membuat pengakuan bersalah di Mahkamah Sesyen Muar hari ini di atas dua pertuduhan merogol dan amang seksual fizikal terhadap anak jirannya yang juga pelajar perempuan orang kelainan upaya (OKU), awal Januari lalu.
Hakim Sayani Mohd Nor kemudian menjatuhkan hukuman penjara selama 15 tahun dan lapan sebatan terhadap tertuduh, Mohd Din Mohd Salleh selepas penebar roti canai terbabit mengaku bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan.
Mahkamah memutuskan hukuman penjara terhadap tertuduh berusia 60 tahun itu berjalan serentak untuk kedua-dua pertuduhan berkuat kuasa daripada tarikh warga emas berkenaan ditangkap iaitu pada 17 Januari lalu.
Mengikut pertuduhan pertama, warga emas itu didakwa merogol seorang pelajar perempuan berusia 13 tahun yang berstatus OKU di dapur sebuah rumah sewa di Kluang, Johor antara jam 12 tengah malam hingga 1 pagi, 11 Januari lalu.
Manakala bagi pertuduhan kedua pula, penebar roti canai itu didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa dengan kejadian berlaku pada tarikh, waktu dan lokasi yang sama, lapor Berita Harian.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh yang berjiran dengan keluarga mangsa telah bertindak menghubungi kanak-kanak berkenaan untuk berjumpa di dapur rumah sewa mereka.
Sebaik tiba di dapur, mangsa menunggunya atas sofa dan tertuduh tiba tidak lama selepas itu kemudian bertindak melakukan perbuatan terkutuk tersebut ketika ibu bapa kepada kanak-kanak berkenaan sedang tidur.
Ibu bapa mangsa bagaimanapun terjaga apabila mereka mendapati anaknya tiada dan apabila keluar dari rumah, kanak-kanak itu didapati berada di dalam keadaan tidak terurus sebelum melihat kelibat tertuduh yang melarikan diri.
Mereka mengesyaki bahawa terdapatnya sesuatu perkara berlaku terhadap kanak-kanak itu sebelum memutuskan untuk membawanya ke sebuah hospital untuk menjalani pemeriksaan dan didapati ada kesan rogol terhadap mangsa.
Susulan keputusan pemeriksaan itu, laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang pada hari sama dan warga emas terbabit berjaya ditahan oleh pihak berkuasa pada enam hari kemudian.
Akibat perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017, masing-masing penjara hingga 20 tahun dan sebatan bagi setiap pertuduhan.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Othman Affan manakala tertuduh pula tidak diwakili peguam.
Sementara itu, mahkamah juga memerintahkan tertuduh untuk menjalani kaunseling semasa di dalam tahanan dan pengawasan polis setahun selari dengan Seksyen 26 dan 27 AKKSTKK.
Baca juga: “Solat cukup 5 waktu, bila aku ungkit soal nafkah terus suami melenting”