Peguam Muda AMANAH, Fadhli Umar Aminolhuda memaklumkan beberapa pemimpin sayap pemuda parti itu telah pun dipanggil pihak polis untuk siasatan susulan himpunan #TangkapAzamBaki yang diadakan di LRT Bangsar pagi tadi.
Bagaimanapun katanya, himpunan pagi tadi berjalan dengan aman dengan kerjasama baik dari pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Beliau juga memberitahu sekurang-kurangnya 10 peguam Muda AMANAH telah pun hadir sebagai pemerhati undang-undang sepanjang himpunan berlangsung.
“Kami difahamkan bahawa sebilangan pimpinan anak muda, termasuk pimpinan Pemuda AMANAH Nasional, akan dipanggil untuk siasatan.
“Peguam Muda AMANAH akan mewakili para pimpinan Pemuda AMANAH Nasional dan akan memberikan kerjasama yang baik kepada pihak polis,” katanya dalam satu kenyataan terbaru hari ini.
Pada masa sama, beliau turut mendesak supaya pihak kerajaan #KeluargaMalaysia tidak berasa terancam dengan suara rakyat, khususnya anak muda.
Terdahulu, ratusan individu berbaju hitam dipercayai peserta perhimpunan #TangkapAzamBaki berkumpul di kawasan Transit Aliran Ringan (LRT) Bangsar, bermula jam 11 pagi.
Mereka berarak sejauh 600 meter dari Jalan Bangsar menghala persimpangan lampu isyarat ke Brickfields sambil melaungkan slogan Rombak SPRM, Tangkap Azam Baki.