Pengantin mengadu sakit perut di malam pertama, lahirkan anak keesokan harinya

Oleh KIM SYAZIE

Seorang pengantin lelaki merasa tertipu apabila isteri yang baru dinikahinya tiba-tiba melahirkan anak, sehari selepas mereka berkahwin.

Mengejutkan, kejadian itu bermula apabila pengantin perempuan mengadu sakit perut pada malam pertama di rumah suaminya.

Wanita itu kemudian segera dikejarkan ke hospital berhampiran sebelum selamat melahirkan seorang bayi perempuan keesokkan harinya.

Bukanlah berita yang menggembirakan, pihak hospital mendedahkan bahawa pengantin wanita itu sebenarnya telah hamil selama tujuh bulan.

Selepas mengetahui hal yang sebenar, suami serta keluarga mentua enggan menerima kehadiran wanita dan bayi yang baru dilahirkan itu.

Mempunyai perut yang buncit, keluarga suami sebelum ini dimaklumkan bahawa wanita itu baru sahaja menjalani pembedahan.

Akibat daripada pembedahan membuang batu karang, perut wanita berkenaan ‘kelihatan’ buncit dan membengkak.

Oleh sebab itu, pihak pengantin lelaki mendakwa bahawa keluarga wanita sebenarnya sengaja menyembunyikan kehamilan tersebut.

Kedua buah keluarga kemudian berbincang dan mencapai persetujuan untuk tidak membuat laporan polis dan memanjangkan isu tersebut.

Menurut laporan India.com, kejadian itu dipercayai berlaku di Greater Noida, Uttar Pradesh yang terletak di utara India.

Selepas kejadian, keluarga pengantin perempuan difahamkan membawa wanita itu pulang ke kampung.

Baca juga: Sentuh tapak sulaiman, pijak terumbu karang, pelancong China mungkin dipenjara