Sejak minggu lalu tular di media sosial apabila seorang pengemis yang dipercayai dari etnik Rohingya mengemis sambil membawa tong oksigen untuk meraih simpati ramai.
Difahamkan, gambar pengemis itu dirakam oleh seorang pengguna di sebuah bazar Ramadan di sekitar Sungai Besi.
Biarpun tidak dapat dipastikan sama ada pengemis itu benar-benar sakit atau pun sekadar lakonan untuk mendapatkan wang, namun ia telah mengundang perbincangan meluas dalam kalangan pengguna media sosial.
Menerusi foto yang ditularkan, kelihatan dua individu iaitu seorang lelaki dewasa dan seorang kanak-kanak sedang duduk di atas jalan tar dengan membawa tong oksigen.
“Lain macam rohingya mengemis tahun ni, Bazar Ramadhan Sungai Besi,” tulis @MALAYSIAVIRALL.
Berdasarkan gambar tersebut, kelihatan lelaki dewasa itu sedang memakai penyedut oksigen pada bahagian mukanya, selain terdapat tong oksigen di sebelahnya.
Turut kelihatan seorang kanak-kanak di sebelah lelaki terbabit.
Susulan perkongsian itu, pengguna media sosial mempertikai taktik yang digunakan warga Rohingya itu untuk mengemis kerana jelas ia seperti ‘wayang’ semata-mata.
Biarpun ada yang meninggalkan komen bahawa tong oksigen itu adalah tong sebenar yang digunakan pesakit jantung dan paru-paru, namun timbul tanda tanya adakah ia boleh dibawa ke mana sahaja dengan status kesihatan sedemikian.
Atas sebab itu ramai yang mahukan pihak berkuasa menjalankan pemantauan di bazar Ramadan kerana dikhuatiri lebih ramai pengemis mengambil kesempatan pada masa akan datang.
“Harap pihak @imigresenmy boleh buat ‘lawatan kerja’ kat pasar malam/pasar tani/bazar Ramadan.
“Mana tahu boleh terserempak dengan spesis orang hanyut ni, tolong lah hantar mereka balik ke negara asal. Menyampah,” kata @Orkid_Hutan.
“Saya nampak mereka berdua turun MRT di kawasan Sentral minggu lepas,” tulis Shidah.
Perkara sama turut dikongsi, Yusniza Mohd Yusof yang pernah melihat kelibat dua individu itu di hadapan sebuah pasaraya di Puncak Jalil manakala Mie Rhaa ll pula mendakwa pernah melihat mereka di Subang Perdana.
Mereka berharap tindakan tegas dikenakan terhadap dua individu terbabit dan warga asing lain yang menjalankan kegiatan sama sepanjang Ramadan.