Pengerusi dedah ada individu yang sudah pencen tapi masih tak bayar lagi pinjaman PTPTN

Oleh KIM SYAZIE

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mendedahkan ada peminjamnya yang kini mencapai usia 60 tahun tetapi masih belum membayar balik pinjaman pembelajaran yang diberikan.

Ia berpunca dari kesedaran peminjam yang amat rendah sehingga ada yang tidak mengambil pusing tanggungjawab membayar balik hutang belajar.

Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, adalah tidak wajar pada usia sedemikian, masih ada yang belum menjelaskan bayaran hutang pinjaman.

Dalam satu temubual eksklusif BH, beliau menegaskan, kesedaran peminjam untuk membayar balik pinjaman amat penting kerana PTPTN memerlukan sekitar RM3 bilion bagi membiayai kos pendidikan tinggi 450,000 peminjam sedia ada dan purata 150,000 peminjam baharu setiap tahun.

“PTPTN perlu terus mempunyai dana mencukupi untuk memenuhi tuntutan itu setiap tahun,” katanya memaklumkan antara cabaran besar dihadapi pihaknya adalah memperoleh semula dana yang dikeluarkan sebagai pinjaman pendidikan.

Katanya, lebih 430,000 peminjam tidak pernah membuat sebarang bayaran balik pinjaman walaupun sekali, membabitkan hutang tertunggak RM5.46 bilion, iaitu sebahagian daripada keseluruhan tunggakan RM11.32 bilion yang membabitkan lebih 1.25 juta peminjam sehingga September 2024.

Mengenai langkah diambil bagi menangani isu berkenaan, beliau berkata, PTPTN menjalankan kajian mendalam untuk mengenal pasti punca utama peminjam tidak membuat bayaran balik.

Hasil kajian menunjukkan ada peminjam benar-benar tidak mampu, hilang pekerjaan atau menghadapi masalah kesihatan, namun sebahagian lagi langsung tidak menyedari kepentingan tanggungjawab itu.

“Ada juga sengaja meletakkan bayaran balik pinjaman PTPTN sebagai keutamaan rendah. Ini tidak adil bagi mereka yang bertanggungjawab dan komited buat bayaran balik, ramai berasal daripada keluarga kurang berkemampuan.

“Dana pendidikan ini terancam akibat peminjam lain gagal menunaikan tanggungjawab. Mereka faham peluang melanjutkan pelajaran yang mereka nikmati adalah satu amanah dan tanggungjawab untuk memastikan generasi akan datang turut diberi peluang sama,” katanya lagi seperti dilapor.

Baca juga: “Mak baru meninggal..”- Ini kisah di sebalik video nenek baca Yasin ketika cucu jawab SPM