Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Oh Tong Keong sepatutnya memahami kenyataan bursa oleh Vertice Berhad yang sudah cukup jelas bahawa penamatan kontrak di antara Vizione dan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZC) langsung tidak mempunyai kesan terhadap pelaksanaan Pakej 2.
Exco Infrastruktur dan Pengangkutan Negeri Pulau Pinang, Zairil Khir Johari berkata, kerja-kerja pembinaan telah pun dimulakan oleh CZC tanpa menggunakan kontraktor lain.
Menurutnya, CZC pada awal 2019 telah menganugerahkan kontrak pembinaan Pakej 2 kepada Buildmarque Construction Sdn Bhd.
“Ia merupakan satu usahasama antara Vertice Bhd dan Vizione Holdings Bhd, namun seperti yang diumumkan ketika itu, kontrak tersebut adalah tertakluk kepada beberapa syarat.
“Oleh kerana syarat-syarat tersebut tidak dapat dipenuhi maka kedua-dua pihak telah bersetuju untuk membuat penamatan bersama dan penamatan bersama (mutual termination) ini hanyalah isu pentadbiran di antara kedua-dua pihak dan langsung tidak menjejaskan Pakej 2.
“CZC telah pun memulakan pembinaan pada tahun 2021 setelah diambil alih oleh pengurusan baharu dan oleh kerana itu tiada lagi keperluan untuk melantik syarikat Buildmarque Construction Sdn Bhd,” jelasnya dalam satu kenyataan.
Beliau menegaskan Tong Keong sepatutnya boleh memahami kenyataan tersebut, namun begitu agak malang apabila beliau memilih untuk memutarbelitkan isu dengan dakwaan bahawa projek Pakej 2 telah pun ditamatkan.
Tambahnya lagi, pelaksanaan Projek Jalan Pintasan Air Itam ke Lebuh raya Lim Chong Eu (Pakej 2)masih berjalan seperti biasa.