Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) mengambil serius mengenai pengurangan peruntukan kepada golongan nelayan yang tidak dinyatakan secara jelas dalam pembentangan Belanjawan 2019 pada Jumaat lalu.
Pengerusinya Muhammad Faiz Fadzil berkata, pihaknya akan bertemu dengan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub dalam masa terdekat untuk membincangkan berkaitan Elaun Sara Hidup (ESH) dan subsidi petrol dan minyak kepada 55,000 nelayan di negara ini.
“Secepat mungkin saya akan menghubungi menteri untuk diadakan perjumpaan. Soal berapa jumlah pengurangan tidak boleh diputuskan lagi. Kita perlu menstrukturkan semula inisiatif diberikan dengan bajet daripada kerajaan semasa.
” Walaupun berlaku pengurangan dari segi elaun sara hidup dan subsidi petrol dengan adanya Bantuan Sara Hidup (BSH) yang turut diterima dikalangan nelayan dan beberapa inisiatif lain akan dapat meringankan beban nelayan menangani kos sara hidup,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media yang diadakan selepas merasmikan Penutupan Persidangan Persatuan Nelayan Kebangsaan yang diadakan di salah sebuah hotel di Sungai Besi hari ini.
Persidangan yang diadakan selama empat hari itu telah dihadiri 200 orang nelayan pelbagai peringkat pengurusan membabitkan 103 buah Persatuan Nelayan yang dianggotai 89 Persatuan Nelayan Kawasan, 13 Persatuan Nelayan Negeri dan 1 Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat).
Beliau berkata pengurangan ESH serta subsidi petrol dan minyak kepada nelayan hanya bersifat sementara sehingga keadaan ekonomi dapat dipulihkan.
“Negara kini menanggung hutang RM1trilion dan sekiranya ekonomi kita pulih pastinya kita akan mengusahakan peruntukan kembali pada asal,” ujarnya.
ESH kepada nelayan yang berjumlah antara RM200 dan RM300 sudah bermula sejak Jun 2008, bertujuan untuk meringankan bebanan kos sara hidup nelayan.
Beliau berkata penerima ESH nelayan hanya dikhususkan kepada mereka yang benar-benar layak iaitu nelayan tulen.
“Dalam Akta LKIM istilah nelayan itu perlu menjadi nelayan lebih 120 hari turun ke laut iaitu nelayan yang tidak memberikan fokus kepada pekerjaan lain.
“Pemutihan telah dilakukan yang mana kita menyaring dikalangan nelayan yang bekerja separuh masa atau tidak lagi turun ke laut.
“Kerajaan mahu mengenalpasti jumlah nelayan tulen dan dikalangan nelayan yang perlu kita bantu itu sekitar 40,000 orang sahaja,” ujarnya.
Setakat hari ini, seramai 8,000 nelayan telah dikeluarkan daripada senarai penerima ESH dan proses pemutihan nelayan masih lagi berjalan.
Beliau berkata perikanan satu bidang yang baik tetapi kerajaan perlu menguruskan peluang-peluang itu semaksima mungkin untuk nelayan tempatan.
“Kita tidak boleh fokus kepada tangkapan sahaja kerana ia bergantung kepada cuaca. Nelayan perlu ada sumber pendapatan sampingan yang dapat menambah hasil pendapatan dan mengeluarkan mereka daripada kemiskinan.
“Saya percaya kita perlu menguruskan bidang hiliran nelayan ini menerusi persatuan nelayan agar bidang perikanan ini dapat diwarisi generasi akan datang,” ujarnya.
Dalam Belanjawan 2019 Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menerima peruntukan membabitkan Latihan Keusahawanan RM52juta, Pembangunan dan Penyelidikan (R&D) sebanyak RM42juta dan Agro makanan RM18 juta untuk membangunkan sektor pertanian dan perladangan.
Perbelanjaan pembangunan yang diumumkan kerajaan kepada kementerian sebanyak RM1.6bilion.
Semua peruntukan ini turut meliputi kepada golongan nelayan walaupun ia tidak dinyatakan secara spesifik ketika pembentangan belanjawan dibacakan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng, Jumaat lalu.
Bagi terus memperkasa sektor perikanan Negara dan menghadapi cabaran semasa, LKIM bersama Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani telah merangka pelan strategik secara holistik merangkumi pembangunan
sektor perikanan dan sosioekonomi nelayan.
Katanya, dalam hubungan ini, Kerajaan terus komited bagi meningkatkan pengeluaran ikan untuk makanan di samping menguruskan sumber perikanan secara mapan, memperkenalkan teknologi baru dan yang paling utama memastikan bekalan ikan dalam negara sentiasa mencukupi serta peningkatan pendapatan nelayan