Caj perkhidmatan yang dikenakan ke atas pengguna oleh ejen sistem pembayaran elektronik, Touch ‘n Go bagi tujuan tambah nilai adalah tidak munasabah, tegas Ahli Lembaga Pemegang Amanah Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC), Muhammad Shaani Abdullah.
Katanya, pengguna tidak harus dibebankan dengan caj servis tersebut memandangkan ejen berkenaan dilantik oleh pihak pengendali sistem bayaran tol elektronik di lebuh raya itu untuk memperluaskan rangkaian perniagaannya.
“Syarikat TnG (Touch ‘n Go) yang harus tanggung caj perkhidmatan kepada semua ejennya bukan pengguna yang belum pun menggunakan sebarang perkhidmatan,” jelasnya ketika dihubungi Malaysia Dateline hari ini.
Beliau diminta mengulas tentang kekeliruan orang ramai berhubung caj perkhidmatan 50 sen oleh sebahagian ejen TnG dan cukai enam peratus GST ke atas tambah nilai bagi kemudahan sistem pembayaran tanpa tunai itu.
Menyifatkan caj servis 50 sen yang dikenakan ejen TnG terbabit sebagai tidak adil kepada pengguna, beliau menyamakan dengan perkhidmatan bayaran menggunakan kad kredit dan kad debit.
“Komisyen atau caj perkhidmatan kad kredit ditanggung oleh pihak penjual barangan dan perkhidmatan bukan pengguna yang membayar.
“Mengapa bagi TnG satu cara pra-bayar menyerupai kad debit tetapi pengguna pula dikenakan caj perkhidmatan dan ditambah pula GST?” soalnya.
Sehubungan itu, Shaani menganggap TnG mengambil peluang sebagai satu monopoli untuk tidak mengamalkan amalan baik (best practise) perkhidmatan bayaran pra-bayar kerana tiada persaingan.
“Ramai pengguna tidak sedar mereka mangsa monopoli mungkin dibiasakan dengan sikap tidak mengapa padahal TnG untung atas angin,” katanya lagi.
Sejak beberapa hari lalu, pengguna meluahkan rasa tidak puas hati mereka berhubung caj perkhidmatan yang kemudian ditokok dengan GST bagi tambah nilai yang dibeli di laman rasmi Facebook Touch ‘n Go Malaysia.
Antara pihak yang mengenakan caj perkhidmatan 50 sen ke atas pembelian kad tambah nilai Touch ‘n Go sebelum ditambah 3 sen GST ialah ATM dan CDM Ambank, Maybank dan RHB; 7 Eleven; Giant Malaysia; myNEWS.com serta sebahagian stesen minyak.
Walau bagaimanapun, pembelian tambah nilai bagi kad Touch ‘n Go seperti di Touch ‘n Go Hub, Touch ‘n Go Spot, kaunter tol, Tesco Watsons, KK Super Mart dan Guardian Malaysia dikecualikan daripada cukai perkhidmatan dan GST.
Touch ‘n Go merupakan syarikat yang terbabit dalam penyediaan perkhidmatan pembayaran tambang menerusi kad prabayar e-payment turut dikenali sebagai sistem tiket biasa bagi sebahagian besar pengangkutan awam di Lembah Klang.