Siapa sangka dengan hanya bekerja sebagai penghantar makanan, seorang lelaki mampu membeli dan memiliki sebuah kediaman mewah berharga RM1.4 juta terletak di kawasan perumahan elit di Johor Bahru.
Pekerjaan tersebut juga menjana pendapatan yang cukup lumayan sehinggakan lelaki dikenali sebagai Afiq Zayany itu boleh memperoleh hasil mencecah RM20,000 sebulan dengan menghantar pesanan kepada pelanggan.
Difahamkan, Afiq merupakan penghantar makanan dari Singapura namun memilih untuk menunggang motosikal ke lokasi pekerjaannya sejauh 250 kilometer setiap hari selepas membuat keputusan berpindah ke Johor.
Menerusi beberapa perkongsian dimuat naik di platform Youtube, Afiq tampil membuat pendedahan berhubung caranya bekerja untuk meraih pendapatan sedemikian serta puncanya berpindah ke Malaysia.
Afiq memberitahu bahawa pekerjaan sebagai penghantar makanan memberikan kelebihan untuknya menentukan jadual kerja sendiri selain menjanjikan pulangan cukup memuaskan di dalam tempoh yang pendek.
“Saya bekerja dari jam 9 pagi hingga 3 petang setiap hari. Setiap bulan memperoleh sekitar S$4,000 hingga S$6,000 (RM13,200-RM19,800). Tetapi pendapatan itu bergantung kepada bagaimana cara saya bekerja.
“Namun dapat sekitar jumlah itu. Tidak dinafikan, sedikit sukar untuk saya mencari kerja pejabat yang menawarkan gaji sedemikian namun dengan tempoh waktu bekerja yang pendek,” katanya dalam satu perkongsian.
Menurutnya, pintu sempadan Johor-Singapura yang turut dikenali sebagai ‘Tambak Johor’ adalah antara perbatasan negara paling sibuk berikutan sekitar 300,000 ke 450,000 orang melintasinya setiap hari untuk ke lokasi pekerjaan.
Pengguna laluan ini termasuklah Afiq sendiri yang rela menempuh perjalanan jauh untuk meneruskan kerjayanya sebagai penghantar makanan di Singapura walaupun telah berpindah ke Johor Bahru.
Jelas Afiq lagi, antara faktor mendorongnya memutuskan untuk berpindah ke Malaysia adalah harga sewa rumah yang agak murah jika dibandingkan dengan Singapura malah ruangannya juga lebih luas.
Harga minyak di negara ini juga lebih murah yang mana Afiq hanya berbelanja sebanyak RM24.80 untuk seminggu bagi perjalanan sejauh 250 kilometer jika mengisinya di Malaysia berbanding RM89 di Singapura.
Makanan di Malaysia juga sesuai dengan seleranya selain kos sara hidup termasuk harga barangan dapur, bil utiliti, perbelanjaan penyelenggaraan kereta dan membeli-belah juga jauh lebih jimat berbanding di negaranya.
Lelaki itu juga merasa lebih gembira menjalani kehidupan di sini berbanding di Singapura kerana tekanan berkurang ekoran mendapat lebih kebebasan serta keadaan yang tidak sesak serta tenang di Malaysia.