
Semua penghulu dan penggawa harus menjadi kuasa pendamai dalam masyarakat tanpa membezakan apa jua fahaman politik penduduk yang ada dalam kawasan yang mereka wakili.
Sebaliknya mereka merupakan kepimpinan sebenar di peringkat akar umbi.
Demikian dinyatakan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir ketika majlis pemukiman Penghulu dan Penggawa Semenanjung yang diadakan di Sungei Petani, pada Selasa.
Malah ujarnya lagi, penghulu dan penggawa perlu memimpin desa dan kampung dengan sebenar-benar kepimpinan.
“Pimpinlah kampung dan desa dengan kepimpinan yang boleh diteladani serta berhikmah.
“Selain itu semua penghulu dan penggawa berikan keadilan dan wujudkan muafakat dalam masyarakat.
“Disamping itu kukuhkan setiakawan dan bongkar kekuatan dan potensi kampung masing-masing, ” jelasnya lagi.
Menurut Mukhriz lagi, perpaduan perlu dikukuhkan serta suburkan muafakat untuk memajukan kampung dan kawasan pedalaman.
Beliau turut berkata, pengaruh penghulu dan penggawa dalam masyarakat kini semakin terhakis dan menyusut sedikit demi sedikit.
“Institusi penghulu dan penggawa kini juga dilihat semakin terpisah dari rutin kehidupan masyarakat kampung.
“Tidak dapat dinafikan dikebanyakan kampung, penghulu dan penggawa tidak lebih sekadar simbol sosial dalam struktur pentadbiran semata-mata.
“Kewujudan pelbagai sistem tata-kelola dan pentadbiran daerah telah menyebabkan institusi penghulu dan penggawa hanya sekadar agen penyampai maklumat dan bukan lagi sebagai pemimpin sebenar, ” tegasnya.

Sehubungan itu kata beliau, semua penghulu dan penggawa harus memulakan perubahan dan reformasi dalam kepimpinan mereka.
“Kepentingan dan keutuhan sistem penghulu harus diubah.
“Maka cara yang terbaik adalah dengan memberikan kepimpinan yang sebenar diperingkat akar umbi.
“Tidak hanya bertindak sebagai pegawai kerajaan semata-mata, sebaliknya menjadi yang lebih dipercayai dan memahami kependudukan desa masing-masing, ” tambahnya.
Kata Mukhriz lagi, penghulu dan penggawa mempunyai peranan besar bagi meredakan pergeseran dan memulihkan perselisihan yang wujud.
“Satukan kembali masyarakat dan santuni semula hidup bermasyarakat.
“Berlaku adil tanpa mengira fahaman politik dan kedudukan masyarakat yang dinaungi.
“Penghulu dan penggawa harus menjadi wadah membawa rasional serta menjadi penengah dalam masyarakat, ” ujarnya.