Penghuni flat melenting, dakwa cop parkir perkara normal sebab bayar rumah berpuluh ribu

Oleh KIM SYAZIE

Seorang lelaki yang juga penghuni sebuah rumah flat melenting, mendakwa amalan cop parkir di perumahan kos rendah itu sebagai perkara normal.

Dalam satu rakaman tular dimuat naik seorang wanita di TikTok, dia meluahkan rasa tidak puas hati kerana lelaki tersebut menjadikan parkir awam sebagai hak milik mereka.

Lelaki dalam rakaman itu mempertahankan tindakannya meletak kon di ruang parkir kerana mereka membayar berpuluh ribu ringgit untuk membeli rumah di kawasan itu.

“Kalau kita buat tempat orang, sama saja, sebab kita bayar berpuluh-puluh ribu. Normallah rumah flat!,” jerit lelaki itu.

Menurut pengguna TikTok itu, dia terpaksa parkir berlapis atau double park disebabkan ada penduduk yang sesuka hati cop parkir sehingga menyusahkan penghuni lain.

Katanya lagi, isu cop parkir ini sudah berlarutan sejak sekian lama dan menjadi ikutan dari generasi ke generasi.

Difahamkan, masalah cop parkir ini sudah pernah dilaporkan kepada pihak atasan namun ia tetap berlaku lagi.

Meninjau ke ruangan komen, rata-rata netizen mengecam perbuatan cop parkir itu. Ramai juga meminta agar pihak berkuasa mengambil tindakan kepada mereka yang masih berdegil melakukan kesalahan sama.

Baca juga: Baru tahu rahsia kenapa orang cina jarang ‘renovate’ rumah, patutlah ramai kaya-kaya!