Para pengkaji politik berpendapat Deklarasi Kuala Lumpur yang bakal dimeterai dalam sidang kemuncak Asean 2025 kali ini bakal membawa negara-negara Asean maju bersama terutama dalam bidang hubungan bersama dan sekuriti serantau.
Mereka juga sangat teruja menunggu Deklarasi Kuala Lumpur yang bakal dimeterai dalam sidang kemuncak yang bermula hari ini hingga 28 Mei ini di Kuala Lumpur.
“Saya sangat teruja (menunggunya). Malaysia punya fokus untuk lihat lebih jauh ke hadapan. Bukan hubungan diplomatik dan serantau biasa sahaja tetapi ada target tertentu khasnya digital dan kepentingan lain seperti kerjasama erat dalam aspek urustadbir dan kesiapsiagaan strategik. Yang utamanya keselamatan dan hubungan serantau lebih erat,” kata Pensyarah Kanan Politik Universiti Teknologi Malaysia, Dr Mazlan Ali.
Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengumumkan tentang Deklarasi Kuala Lumpur yang akan dilancarkan pada Sidang Kemuncak Asean ke-46 tahun 2025 yang bermula hari ini.
Deklarasi ini bakal menentukan hala tuju masa hadapan blok serantau itu dalam aspek tadbir urus, transformasi digital dan kesiapsiagaan strategik, kata Perdana Menteri Anwar.
Anwar menyifatkan deklarasi itu sebagai kemuncak kepada kerjasama erat antara pemimpin politik, cendekiawan dan pegawai kanan kerajaan.
Ia juga mencerminkan komitmen bersama Asean untuk bergerak melangkaui retorik kepada tindakan sebenar dalam isu-isu penting berorientasikan masa hadapan.

Bagi Dr Mazlan (gambar atas) yang membuat banyak kajian dan analisis politik negara dan Asean, dengan deklarasi ini ia akan menjadi matlamat bersama Asean “yang bagi saya sangat mengujakan kerana jarang kita temui pemimpin negara yang mempunyai sasaran yang jelas sebagaimana PMX yang cerminkan pengetahuan, kebolehan dan wawasan sebagai PM yang mahu melihat Asean sebagai satu pertubuhan yang bertapak maju di masa depan.”
Harapan beliau, deklarasi ini akan menjadi platform untuk Malaysia sebagai Pengerusi Asean yang boleh menyumbang sesuatu negara dan rakyat serantau.
“Ini kerana ada antara negara di sini yang agak kebelakang dari segi pembangunan dan pencapaian pelbagai bidang sebagaimana Myanmar, negara-negara Indonchina kecuali Vietnam termasuk juga Timor Leste yang setakat ini bertaraf pemerhati dalam Asean,” katanya.
Dr Mazlan berharap, Deklarasi Kuala Lumpur akan menetapkan satu target yang mahukan hasilnya adalah Asean yang lebih progresif dan dinamik untuk mengejar kemajuan dalam semua bidang yang beri faedah kepada semua negara Asean.
“Jangkaan saya kandungan deklarasi ini berkaitan dengan kerjasama. Asas utama adalah sekuriti atau keselamatan serantau dalam suasana kuasa-kuasa besar cuba mengembangkan pengaruh mereka.
“Kita nak pastikan Asean ini menjadi pertubuhan yang berkecuali dan bebas dari pengaruh kuasa besar tertentu dan dalam masa sama fokus kepada kerjasama dalam bentuk tadbir urus, pentadbiran, pendigitalan, AI, dan juga fokus kepada usaha kerjasama untuk banteras jenayah tanpa sempadan.
“Perkara inilah yang akan jadi teras Deklarasi Kuala Lumpur yang akan dibuat kelak,” kata Dr Mazlan.