Syarikat minyak dan gas serta tenaga di negara ini berharap pengubahsuaian Bajet 2016 akan turut mengutamakan kepentingan mereka bagi memastikan industri itu terus bertahan dan berkembang.
Pengerusi Majlis Perniagaan Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur – Brunei, Indonesia, Malaysia dan Filipina (BIMP-EAGA, Datuk Yussof Mohammad berkata peserta industri berharap pengubahsuaian bajet dapat membawa kembali sinar kepada industri itu memandangkan mereka bersedia untuk menghadapi lagi tahun yang mencabar.
Beliau berkata memandangkan harga minyak mentah dijangka kekal rendah bagi tempoh yang lebih panjang, syarikat industri minyak dan gas serta tenaga akan terus berdepan banyak tekanan, yang turut memberi kesan ke atas aktiviti cari gali dan pengeluaran selain perkhidmatan lapangan minyak dan penggerudian.
“Syarikat yang giat menyelaras model perniagaan masing-masing, mengurangkan kos pulang modal, menyemai disiplin modal diperlukan dan mengembangkan pendekatan inovatif untuk bekerja dengan pembekal dan rakan kongsi juga akan berkembang maju jika mereka melaksanakan pemberhentian pekerja dengan menyeluruh,” katanya kepada Bernama.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan membentangkan pengubahsuaian Bajet 2016 pada 28 Januari ini berikutan kejatuhan harga minyak dan kelembapan ekonomi global.
Yussof, yang juga Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia cawangan Labuan berkata, industri berkenaan, terutamanya syarikat minyak dan gas serta tenaga antarabangsa, telah mengurangkan 1,000 pekerjaan sejak akhir tahun lepas.
Beliau berkata pekerja kontrak merupakan bahagian yang terjejas paling teruk, apabila kontrak tahunan mereka tidak diperbaharu disebabkan majikan masing-masing tidak diberi walaupun satu kontrak kerja sejak September tahun lepas.
“Pasaran hadapan ketika ini hanya menunjukkan kenaikan harga sederhana pada 2016 dan 2017. Kejatuhan harga minyak mempunyai kesan besar ke atas pelaburan dalam pengeluaran minyak dan gas,” katanya.
Terdapat lebih daripada 80 syarikat minyak dan gas serta tenaga ketika ini beroperasi di wilayan bebas cukai Labuan.
Yussof berkata harga yang rendah dan ketidakpastian mengenai had pemulihan aktiviti cari gali dan pengeluaran akan menyebabkan perbelanjaan dan jumlah pengeluaran dikurangkan.
“Berikutan itu, syarikat perkhidmatan lapangan minyak dan penggerudian mencatat penurunan pendapatan serta mengalami lebihan kapasiti peralatan berterusan dan perlu meminimumkan perbelanjaan modal hanya untuk beroperasi pada hampir paras kos pulang modal.
“Itu bermakna sektor minyak dan gas serta tenaga perlu mengehadkan lagi perbelanjaan modal, kemungkinan pada 20 hingga 30 peratus,” katanya merujuk kepada analisis penggiat minyak dan gas antarabangsa.
Beliau berkata perubahan drastik diperlukan dalam industri itu bagi memastikan peserta dapat terus bertahan susulan unjuran hadapan sektor berkenaan.– BERNAMA