Permintaan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka untuk melihat benarkah pengundi luar pulang untuk mengundi dalam pilihan raya negeri (PRN) kali ini telah disambut dengan begitu memberangsangkan oleh para netizen.
Mereka menunjukkan video, gambar, makluman dan sebagainya bahawa mereka pulang ke Melaka untuk mengundi dalam PRN ini bagi membolehkan Adly menjadi ketua menteri semula.
Dalam masa yang sama Adly sendiri sehingga minit-minit terakhir terus melakukan kempen dengan bertemu orang ramai seramai mungkin.

“Saya difahamkan rakyat Melaka di perantauan sedang berpusu-pusu pulang demi menjalankan tanggungjawab di hari pengundian esok.
“Hati-hati di dalam perjalanan, semoga selamat sampai ke destinasi.
“Kongsi sikit gambar perjalanan anda ketika ini di ruangan komen,” tulis Adly kira-kira jam 8 malam tadi di facebook beliau.
Kira-kira 300 komen yang diberikan oleh rakan-rakan Adly dalam posting tersebut menunjukkan mereka pulang ke Melaka untuk mengundi dalam PRN ini.
Shahid Batrisyah menulis, “Dari Tawau odw balik Melaka..” sambil menunjukkan kad perlepasan lapangan terbang Tawau ke Kuala Lumpur (gambar atas).
Andy Tan menulis, “Dari Johor ke Melaka..” sambil menunjukkan gambar perjalanan dalam kereta beliau dari Johor ke Melaka.

Khuzairy Mazlan menulis, “4 Sepupu dan makcik saya otw balik dari Penang. Doa saya moga peroleh kemenangan esok.”
“Saya balik undi yb Adly” tulis Pia Sabil sambil meletakkan video beliau sedang dalam perjalanan pulang ke Melaka dan kini berada di Lebuhraya.
Karen Lee Huey Shyan pula menulis, “Saya dah kat Melaka dari minggu lepas, YB. We will try our best tomorrow.”
Emily Teo pula memaklumkan anak-anak beliau sudah sampai untuk mengundi esok.
“Anak2 dah sampai. Kita dah sedia untuk mengundi pagi esok,” tulis beliau dalam ruangan komen.
Hamdan Ithnin pula memaklumkan, “tempat mengundi masih lagi di kampong..esok pagi gerak”
Hampir kesemua pengkaji politik di Melaka membuat rumusan, PH akan menang dalam PRN ini jika pengundi luar pulang untuk mengundi.
Firma penyelidikan Ilham Centre menjangkakan kemenangan buat Pakatan Harapan (PH) di Melaka jika kadar keluar mengundi melebihi 80 peratus.
Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Mohamad Hisomuddin Bakar berkata, dengan hitungan mudah, PH mempunyai peluang memenangi Melaka sekiranya momentum PRU-14 kembali berulang dengan peratusan keluar mengundi yang tinggi.
Dengan itu katanya, PH akan menerima undi Melayu yang signifikan serta limpahan pengundi Cina yang maksima.
“Dua faktor PH berpeluang untuk menang iaitu peratusan keluar mengundi melebihi 80 peratus dan PN berupaya memecahkan dominasi undi Melayu yang dimiliki oleh BN.
“Jika dua situasi ini tidak berlaku, maka BN berupaya tampil sebagai pemenang,” katanya dalam Laporan Ringkasan Pola Pengundian dan Prediksi Pilihan Raya Negeri Melaka 2021.
Pengkaji politik pilihan raya dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sejak dari awal lagi menyatakan, PH hanya akan boleh menang jika pengundi luar pulang mengundi dan peratusan keluar mengundi melebihi 80 peratus.
Adly sendiri mengaku, faktor utama kemenangan beliau dan rakan-rakannya adalah kepulangan pengundi luar untuk mengundi dan peratusan keluar mengundi yang melebihi 80 peratus.
Adly tampil paling popular dalam persaingan di antara bekas ketua menteri Melaka yang bertanding untuk meraih semula jawatan tersebut, menurut Ilham Centre.

Menurut badan itu, kajian secara tatap muka melibatkan lebih 1,000 pengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka mendapati, 56% daripadanya setuju prestasi Adly amat membanggakan.
Seramai 495,196 orang pengundi Melaka akan keluar mengundi dalam PRN ini dengan 11,557 darinya adalah pengundi awal pada 16 November lepas.
89.9 peratus pengundi awal telah keluar mengundi pada 16 November lepas yang memberikan gambaran pengundi tidak takut untuk keluar mengundi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mensasarkan kira-kira 70 peratus akan keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 November ini.
Pengerusinya, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata sasaran itu agak rendah berbanding jumlah biasa pada pelaksanaan pilihan raya sebelum ini dengan mengambil kira tempoh pandemik COVID-19 yang belum berakhir.