Pengurus acara majlis pernikahan dan pembantu peribadi selebriti popular, Neelofa Mohd Noor hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi hari ini untuk memberi keterangan.
Pemilik dan pengasas syarikat Reka Teemor, Faiz Sabari dan isterinya, Rozana Mumtaz yang dilantik sebagai pengurus majlis perkahwinan Neelofa, dilihat hadir ke balai polis selepas majlis yang diadakan minggu lalu melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.
Mereka dilihat masuk ke IPD Dang Wangi sekitar jam 11.40 pagi tadi dan keluar selepas memberi keterangan pada jam 1.35 petang.
Bagaimanapun, kedua-dua pengurus majlis itu enggan memberikan sebarang komen kepada wartawan dan terus berlalu pergi.
Majlis perkahwinan Neelofa atau nama sebenarnya, Noor Neelofa Mohd Noor, 32, dan pendakwah Haris Ismail atau PU Riz, 26, pada 27 Mac lalu mengundang kritikan apabila didakwa ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri turut hadir memberikan khutbah dan tazkirah ringkas kepada pasangan yang dinikahkan di Hotel Grand Hyatt Kuala Lumpur itu.