Kewujudan perkhidmatan teksi alternatif bukan masalah kepada pengusaha teksi kerana pelanggan akan memilih mereka, jika pengusaha menyediakan perkhidmatan yang lebih baik dan tambang yang munasabah, demikian kata, Pengerusi Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia, Tan Sri Dr Mohd Irwan Abdullah Serigar.
Pengusaha teksi digalakkan untuk bekerjasama dengan teksi alternatif seperti Uber bagi menyediakan perkhidmatan yang berkualiti tinggi kepada penumpang di bandar-bandar utama di seluruh negara.
Mohd Irwan berkata jika tidak, mereka perlu mencari jalan untuk menyediakan perkhidmatan yang lebih baik bagi bersaing dengan Uber dan syarikat-syarikat teksi alternatif yang lain.
“Kewujudan perkhidmatan teksi alternatif bukan masalah kepada pengusaha teksi kerana pengguna akan memilih mereka, jika mereka menyediakan perkhidmatan yang lebih baik dan tambang yang munasabah,” katanya kepada pemberita pada program #MyUberPitch semalam.
Mohd Irwan berkata model perniagaan Uber membolehkan rakyat Malaysia untuk menjana pendapatan tambahan, terutama bagi golongan berpendapatan rendah dan ini sejajar dengan usaha kerajaan yang mahu mencapai ekonomi berpendapatan tinggi.
Beliau berkata perkhidmatan Uber adalah selamat kerana ia dipantau oleh pihak pengurusan Uber sendiri.
“Penilaian bukan sahaja akan dibuat ke atas pemandu tetapi juga penumpang – pemandu dan penumpang yang mendapat markah negatif akan dilarang menggunakan perkhidmatan.
“Perkhidmatan baharu ini amat popular di Amerika Syarikat dan sekarang di negara ini. Ia adalah idea baharu dalam perniagaan tanpa sempadan yang membentuk semula ekonomi global,” katanya.
Dalam hal berkaitan, SPAD melalui laman webya, spad.gov.my sebelum ini bertindak melakukan Kaji Selidik Maklumbalas: Perkhidmatan Teksi di Malaysia yang dilihat ramai pemandu teksi sebagai ‘membunuh’ industri teksi negara ini.
Sebanyak 76.4 peratus atau 9,791 daripada jumlah keseluruhan 9,026 responden berpendapat lebih selesa menggunakan Uber dan GrabCar sebagai pengangkutan awam menggantikan teksi awam.
Bahkan, 86.6 peratus atau 7,728 pengguna teksi mendakwa teksi awam mengenakan caj tambang berlebihan atau tidak menggunakan meter.