Peniaga curi perhatian jual cendol harga tak masuk akal, bayar RM1 dapat semangkuk penuh!

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang peniaga cendol yang menjalankan operasinya di sebuah gerai terletak di kawasan Petaling Jaya, Selangor telah berjaya menarik perhatian pengguna media sosial tempatan baru-baru ini.

Mana tidaknya, peniaga berkenaan bukan sahaja menjual cendol dengan harga murah iaitu RM1 semangkukj malah langsung tidak berkira dalam meletakkan bahan-bahan seperti pulut, kacang, jangung dan cincau.

Para pelanggan difahamkan boleh mendapatkan cendol bersama bahan tambahan berkenaan secara berasingan atau dicampurkan dalam satu mangkuk namun harganya masih tetap tidak berubah.

Kemurahan hati perniaga tersebut dikongsikan menerusi satu hantaran video berdurasi 57 saat yang dimuat naik di platform TikTok sekali gus untuk tujuan mempromosikan premis milik peniaga berkenaan.

Dalam perkongsian itu juga, dapat didengarkan perakam video turut terkejut apabila mendapat tahu harga yang ditetapkan oleh peniaga selain menyifatkannya sangat berbaloi jika dibandingkan dengan kuantiti hidangan.

@bestfoodmy

RM1 Cendol Pulut. So delicious! 📍Cendol Kak Zah @ 22, Jalan PJS 2/3, Taman Medan, 46000 Petaling Jaya, Selangor ⏰ 12.15pm – 6.30pm (Open everyday)

♬ original sound – Best Food Malaysia – Best Food Malaysia

Perakam video juga sempat bertanya sekiranya peniaga terbabit boleh memperoleh keuntungan dengan menjual cendol berharga RM1 yang mana wanita itu mengakuinya jika hidangan dibeli dalam kuantiti banyak.

“Bolehlah. Kalau orang beli banyak bolehlah (mendapat keuntungan),” kongsi wanita yang telah menjalankan perniagaan menjual hidangan tersebut selama 35 tahun itu.

Setakat artikel ini ditulis, perkongsian rakaman tersebut sudah berjaya mendapat sebanyak 3 juta tontonan dan 127,900 tanda suka daripada pengguna TikTok yang mana rata-ratanya memuji sikap peniaga berkenaan.

Ramai juga pengguna berkongsi keinginan mereka untuk berkunjung ke gerai itu memandangkan peniaga terbabit memanggil pelanggannya dengan gelaran sayang selain mengirimkan doa agar semua urusannya dipermudahkan.

“Saya ini Chef (tukang masak), setiap hari buat pengiraan kos. Tetapi tak boleh diterima akal aku apabila cendol itu dijual dengan harga RM1. Harap agar peniaga ini sentiasa dipermudahkan urusan dan dimurahkan rezekinya. Amin.” Kata seorang pengguna.

“Wah! Dipanggil sayang? Baiklah. Cendol harga murah itu letak tepi. Saya datang untuk dipanggil sayang sahaja!.” Kongsi pengguna lain dengan semangat di dalam nada berseloroh.

Baca juga: Mampu dapat RM4k sebulan, lelaki dedah sebab sanggup terlibat dalam penyelewengan diesel subsidi