Seorang penternak landak raya berjaya mencuri perhatian ramai baru-baru ini selepas berkongsi beberapa gambar memaparkan hasil sembelihan haiwan eksotik berkenaan di akaun media sosial miliknya.
Menerusi perkongsian dimuat naik di platform Facebook, penternak terbabit juga sempat mempromosikan daging landak raya jualannya yang sudah siap disembelih, dicuci sebelum diletakkan di dalam bekas plastik.
Kesemua bekas plastik tersebut kemudian disimpankan dalam peti sejuk beku sementara menunggu pelanggan yang berminat untuk ‘meminang’ atau membeli daging haiwan eksotik berkenaan.
Menurut penternak yang dikenali sebagai Rizal Anuar itu, daging berkenaan dijual dengan harga RM180 sekilogram bersama resit untuk rujukan pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).
“Alhamdulillah, petang ini selesailah sembelihan dua ekor landak raya yang dibiak daripada hasil pembiakan baka di dalam kurungan dan berlesen. Ini bukan landak liar. Siap sahaja bungkus, terus masuk dalam peti sejuk beku.
“Menunggu untuk dipinang (dibeli pelanggan),” tulis Rizal yang menjalankan perniagaan dengan menjual daging haiwan lain termasuk kambing, pelanduk selain katering di Kampung Ulu Jus, Selandar, Melaka.
Setakat artikel ini ditulis, perkongsian itu sudah berjaya mendapat sebanyak 16,000 tanda suka dengan rata-rata pengguna mengambil peluang berceritakan pengalaman mereka sendiri ketika memakan daging eksotik tersebut.
Ramai juga pengguna mengakui bahawa rasa haiwan itu lebih enak berbanding ayam selain merupakan salah satu jenis daging paling menyelerakan untuk dijadikan sebagai hidangan rendang.
Beberapa individu juga mengakui bahawa daging landak memiliki peminatnya sendiri kerana mereka yang merasa geli mengenangkan rupa haiwan tersebut mungkin tidak dapat menikmatinya walaupun enak untuk dimakan.
Baca juga: Janin cukup sifat ditemui di stesen minyak, bomba tarik keluar dari lubang tandas