Ini amaran keras dari KPDN kepada peniaga bazar ramadhan yang suka hati naikkan harga

Oleh KIM SYAZIE

Menjelang sambutan bulan Ramadan tidak lama lagi, pastinya akan ada segelintir peniaga yang menaikkan harga barang di bazar Ramadan.

Bagaimanapun Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan akan memastikan tiada kenaikan harga barang yang melampau menerusi Op Terjah.

Pengarahnya, Azman Ismail berkata, pihaknya akan melakukan pemantauan secara menyeluruh di bazar Ramadan di seluruh negeri.

Malah pegawai pemantau harga dan penguat kuasa akan ditempatkan secara tetap sepanjang bazar beroperasi.

Menurutnya, jumlah pegawai yang akan ditempatkan di setiap bazar Ramadan adalah bergantung keluasan tapak bazar di sesebuah kawasan.

“Menerusi Op Terjah juga, ia tidak tertumpu kepada bazar Ramadan sahaja, tetapi juga pasar-pasar basah dan pasar raya termasuk kedai makan terutamanya apabila mendapat aduan.

“Sekiranya pihak kami mendapat aduan, akan segera turun padang serta melakukan pemeriksaan mengejut.

“Jika didapati melanggar peraturan berkenaan maka boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011,” katanya seperti dipetik Harian Metro.

Walaupun kementerian tidak mempunyai kuasa untuk menentukan harga juadah yang dijual, namun sekiranya wujud unsur pengambilan untung secara berlebihan.

Tindakan boleh diambil menerusi Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

“Pada tahun lalu, terdapat beberapa gerai di bazar Ramadan yang didapati melakukan kesalahan dengan menjual juadah pada harga melebihi 50 peratus daripada harga bahan mentah.

“Bagaimanapun, tidak ada kompaun yang dikenakan, sebaliknya kami memberikan amaran serta notis dan mereka akur,” katanya.

Baca juga: Penyondol makin ramai, kes penceraian di Kedah naik 23%