Peniaga disaran periksa resit bayaran ‘QR Pay’, wujud laman web cipta transaksi palsu?

Oleh WAN SITI AMINAH

Baru-baru ini tular rakaman memaparkan penggunaan satu laman web yang mampu menjana resit pembayaran secara ‘QR Pay’ atau sistem kos respons pantas dipercayai palsu.

Dalam rakaman tersebut, dilihat pelanggan hanya perlu memasukkan nama akaun bank penerima atau peniaga bersama maklumat jumlah bayaran sebelum resit palsu itu dipaparkan.

Walaupun paparan dijana itu tidaklah sama 100 peratus dengan resit asal, namun peniaga yang tidak berhati-hati dalam memeriksa maklumat transaksi mungkin mudah terpedaya.

Akibatnya, peniaga akan mengalami kerugian lebih-lebih lagi sekiranya pembelian dilakukan dengan jumlah yang banyak malah kejadian itu boleh berlaku tanpa disedari seperti terakam dalam video tersebut.

Rakaman berdurasi 27 saat yang dikongsikan menerusi platform X itu difahamkan dibuat dengan tujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai kewujudan penipuan resit pembayaran QR Pay palsu.

“Nampak macam resit yang betul kan? Hakikatnya resit ini sebenarnya palsu. Sebab itulah penting buat kita sentiasa memeriksa sama ada pembayaran dilakukan masuk ke akaun atau sebaliknya,” katanya.

Perkongsian tersebut telah mengundang kekesalan orang ramai yang menyelar tindakan mana-mana individu cuba untuk menipu terutamanya jika menjadikan peniaga kecil sebagai mangsa.

Ramai juga pengguna memberi saranan kepada peniaga untuk memeriksa dahulu maklumat transaksi sebelum benarkan pelanggan beredar atau boleh menggunakan peralatan ‘sound box’.

Peralatan elektrik tersebut dikatakan akan mengeluarkan bunyi setiap kali transaksi secara QR Pay daripada pihak pelanggan berjaya dipindahkan ke dalam akaun bank milik peniaga.

“Ketahuilah kamu bahawa makanan hasil mencuri itu juga haram. Bukan makan babi sahaja haram ya,” kata seorang pengguna yang merasa kesal dengan perbuatan tersebut.

“Untuk keselamatan, guna sahaja ‘sound box’. Dia akan keluar bunyi secara automatik selepas pembayaran masuk dalam akaun peniaga. Jimat masa, tak perlu buka aplikasi bank atau tangkap gambar resit selepas ini.” Kongsi pengguna lain.

Baca juga: Kalau jumpa lombong emas depan rumah, itu hak tuan tanah ke hak kerajaan?