Peniaga goreng pisang bocor rahsia cara buat bancuhan, dah sejuk pun rangup lagi!

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang peniaga goreng pisang yang sudah menjalankan perniagaan selama 20 tahun berjaya mencuri perhatian ramai selepas ‘melawan hukum’ tauke dengan memuat naik satu hantaran di media sosial.

Mana tidaknya menerusi hantaran tersebut, peniaga itu telah bertindak membongkar rahsia tentang pembuatan bancuhan tepung goreng pisang olahannya kepada orang ramai di platform Facebook.

Peniaga terbabit turut memaklumkan bahawa bancuhan tepung berkenaan juga boleh diguna untuk menggoreng makanan lain termasuk ubi keledek, tauhu, roti dan juga kuih kasturi.

“Saya berniaga sudah lebih dari 20 tahun. Alhamdulillah, pelanggan sukakan tepung goreng saya sebab hasilnya rangup dan tidak berminyak. Mari saya kongsi resepinya. Tetapi ini adalah cara saya.

“Jangan pula ada yang toksik mahu bandingkan dengan resepi orang lain. Cara kita tak sama. Jadi kita patut raikan perbezaan,” kata peniaga goreng pisang itu yang tampil berkongsi bukan satu tetapi dua versi resepi.

VERSI TEPUNG BERAS

  • Satu cawan tepung beras
  • Dua sudu tepung ubi
  • Satu sudu teh air kapur
  • Satu sudu teh gula untuk merangupkan lagi tepung
  • Setengah sudu teh garam
  • Setengah cawan air
  • Pewarna kuning telur (jenis serbuk lebih lembut)

VERSI TEPUNG GANDUM

  • Satu cawan tepung gandum
  • Dua sudu tepung kastard
  • Dua sudu minyak
  • Satu sudu teh gula
  • Setengah sudu teh garam
  • Setengah cawan air

Untuk versi tepung gandum, pewarna tidak diperlukan kerana bancuhan tepung kastard sudah cukup untuk menghasilkan warna kuning.

Bancuh kesemua bahan atau kisarkan sahaja. Namun perlu diingatkan, air perlu dimasukkan terlebih dahulu sebelum tepung supaya tidak melekat pada jag pengisar.

CARA MENGGORENG:

1. Panaskan minyak – betul-betul panas supaya muncul kerak-kerak di pisang seperti di dalam gambar.

2. Masukkan pisang – jangan terlalu penuhkan kuali. Apabila sudah cukup, terus terbalikkan. Ini bagi mengelakkan pisang melekat satu sama lain.

3. Kecilkan sedikit api – supaya pisang tidak rentung. Namun api tidak boleh terlalu kecil nanti tepung menjadi lemau dan serap minyak.

4. Kalau untuk roti, tidak perlu balikkan ya. Tunggu roti kekuningan dahulu sebelum dibalikkan, cukup sekali balik sahaja.

Baca juga: Senang betul nak buang pasir, rendam sahaja lala dalam air ni…