Peniaga, peruncit sedia terima telur import tapi stok tidak pernah sampai

Oleh KIM SYAZIE

Kebanyakan peniaga dan peruncit di sekitar Petaling Jaya bersedia menerima telur import dari India ekoran kekurangan bekalan makanan itu, namun memberitahu ia tidak pernah sampai ke tangan mereka.

Ini dipercayai berpunca dari pemborong yang lebih mengutamakan telur tempatan, mengambil kira kebimbangan orang ramai tidak mahu membeli telur import.

Selain itu, kebanyakan peruncit juga tidak mengetahui bagaimana untuk mendapatkan telur import yang dibawa masuk oleh kerajaan pada 16 Disember lalu.

Zubair

Bagi pengurus kedai Ashiq Iman Enterprise, Zubair, dia tidak kisah sekiranya ada mana-mana pemborong boleh membekalkan telur import untuk kedai runcitnya, namun kualiti telur itu perlu dipastikan terlebih dahulu.

Buat masa ini Zubair berkata, dia tidak lagi mengambil bekalan telur ayam dari pemborong lama ekoran pihak pemborong sudah menaikkan harga bekalan telur terutama telur Gred C dari RM11.70 sepapan kepada RM12.30 sepapan.

“Kita boleh cuba telur (import) tapi kita kena tahu dulu kualiti telur dan harap kerajaan kawal harga. Kita takut dapat pemborong suka-suka hati naikkan harga. Contoh harga kawalan jual 50 sen sebiji, tiba-tiba mereka (pemborong) datang pun jual 50 sen. Macam mana nak jual. Serba salah jual.

“Macam pemborong saya, naikkan harga dan jual telur satu papan RM12.30. Saya tak boleh naikkan harga kepada RM12.90. Itu salah,” katanya dalam tinjauan yang dilakukan Malaysia Dateline hari ini.

Azhar

Sementara itu, pengurus Kedai Runcit Damansara, Azhar berkata, sehingga kini dia belum pernah melihat dan menerima telur import dari India.

Bagaimanapun dia tidak mempunyai masalah sekiranya pemborong membawa telur ayam import.

“Tak pernah lagi pemborong hantar telur India dekat sini. Tapi sekarang bekalan telur dihadkan. Jika seminggu dapat 100 papan, sekarang 30 papan sahaja. Kalau dapat telur import pun okay asalkan bekalan ada,” katanya.

Rony

Bagi Rony, yang membuat kerja sampingan membantu perniagaan goreng pisang ibu bapanya pula berkata, dia lebih memilih untuk mendahulukan telur tempatan berbanding telur import kerana khuatir terhadap kualiti telur yang diambil dari negara luar.

“Okay je kalau nak cuba tapi setakat ini tak pernah jumpa telur India. Lagi bagus telur tempatan. Tapi kalau tiada pilihan, terpaksa jugalah beli telur import,” ujarnya.

Sementara itu tinjauan Malaysia Dateline di beberapa pasaraya utama di sekitar Damansara pula mendapati stok bekalan telur papan agak kurang, bagaimanapun masih lagi stabil kerana kebanyakan pasaraya menyediakan telur dalam kuantiti 10 biji yang siap dibungkus.

Salah seorang kakitangan di sebuah pasaraya turut menjelaskan bahawa kekurangan stok di pasaran bukan disebabkan mereka menyimpan atau menyorokkannya sebagaimana dakwaaan orang ramai.

Tetapi sebaliknya bekalan makanan protein itu sangat terhad menyebabkan pasaraya juga sukar mendapatkan bekalan penuh untuk orang ramai.

“Pasaraya utama tak simpan telur kerana telur 30 hari je akan bertahan. Kebanyakan pelanggan tak faham tapi kita memang tak boleh sorok telur.

“Selalunya pasaraya besar akan ambil dalam 4 palet stok telur, lebih kurang 150 papan telur dalam 1 palet. Tapi hari ini sudah seminggu tiada bekalan telur papan,” katanya.

Untuk rekod, syarikat dari India yang mengeksport telur ke Malaysia juga mengeksport telur ke Qatar semasa pertandingan bola sepak piala dunia, FIFA 2022 baru-baru ini.

Sementara itu, sumber dari Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Malaysia memaklumkan, harga telur dari India lebih mahal sekarang berbanding telur tempatan kerana telur-telur itu dihantar menerusi kapal terbang untuk tempoh percubaan.

Menurut sumber itu, melalui pengangkutan laut, kos pengangkutan akan lebih murah dan membolehkan telur dari India akan dijual dengan harga yang kompetetif dengan telur tempatan.

Baca juga: Telur India yang sama juga dieksport ke Qatar semasa FIFA ’22