Peniaga tepi jalan terkejut ‘influencer’ minta bayaran lebih RM3,000, tawar diri promosi gerai

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang peniaga makanan di tepi jalan berjaya mencuri perhatian ramai, baru-baru ini selepas berkongsi pengalaman peribadinya dihubungi oleh seorang pempengaruh media sosial terkenal.

Peniaga dikenali sebagai Abang Nasi Goreng itu berkata, pempengaruh terbabit mulanya menghubunginya untuk menawarkan servis ulasan atau ‘review’ di gerai miliknya yang terletak di Pasir Gudang, Johor.

Walau bagaimanapun, pempengaruh yang menawarkan dirinya sendiri itu turut mengenakan bayaran tidak masuk akal sedangkan peniaga terbabit tidak meminta gerai tepi jalan miliknya diulas individu berkenaan.

Difahamkan, pempengaruh itu mengenakan caj melebihi RM3,000 kepada peniaga yang memperoleh pendapatan dengan menjual pelbagai jenis nasi goreng secara kecil-kecilan.

Kadar bayaran dikenakan oleh pengulas makanan itu disifatkan terlalu mahal malah tidak sesuai dengan imej perniagaannya yang hanya beroperasi di tepi jalan raya sahaja.

“Ada pengulas makanan ini nak buat kandungan berbentuk ulasan di gerai aku. Gerai aku ini tepi jalan sahaja tetapi kau kenakan bayaran sampai ribu-ribu! Kos dia gila (mahal). Kalau bayar mahal-mahal, dapat lebih satu juta tontonan tahanlah juga!

“Aku ini gerai tepi jalan sahaja. Bukan boleh nak terima pelanggan ramai-ramai. Agak-agaklah nak letak harga. Geram betul. Senang buat duit. Makan dapat, duit pun dapat,” katanya dalam satu perkongsian.

Tular di media sosial, perkongsian yang mengundang perbincangan hangat itu didedahkan oleh peniaga nasi goreng terbabit menerusi satu hantaran yang dimuat naik di akaun Thread miliknya, baru-baru ini.

Tinjauan di ruangan komen mendapati rata-rata pengguna Thread berkongsi pendapat bahawa bayaran mencecah ribuan ringgit untuk ulasan makanan tidak sesuai dikenakan kepada peniaga kecil terutama bagi mereka yang tidak boleh menampung pelanggan yang ramai.

Malah perkongsian itu turut mendapat perhatian pempengaruh dan pengulas makanan popular iaitu Ceddy yang turut berkongsi pandangannya mengenai isu tersebut di ruangan komen.

“Kalau dia sendiri nak pergi tempat itu untuk makan dan buat ulasan, tanggung sendirilah kos itu. Jangan masuk kedai selepas itu suruh peniaga bayar. SIAPA KAU? Saya kalau masuk kedai sendiri, selepas itu pemilik nak belanja pun saya tolak.” Kesal Ceddy dalam satu hantaran.

Baca juga: Hilang sabar layan Gen Z sekarang, gaji bersih RM1.7k tapi nak pakai Honda RM163k