Seorang bapa yang hanya bekerja sebagai penjual putu mayam tidak dapat menahan air mata selepas jualan putu mayamnya habis diborong dalam masa yang singkat.
Menerusi video dikongsi pengguna TikTok @fs79076, bapa itu yang dikenali sebagai Khairul berkata, dia sudah beberapa hari buntu memikirkan bayaran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah anaknya yang tertunggak lebih RM400.
Katanya, dia tidak mampu melunaskan tunggakan sebesar itu disebabkan pendapatannya yang kecil, selain menghidap sakit gout yang kronik.
Bapa berusia 44 tahun itu juga berkata dia sudah lama berhenti kerja kerana masalah kesihatannya, dan berusaha menjual putu ayam untuk melunaskan bayaran PIBG.
“Saya sedih sebab hari ini anak saya di sekolah menengah minta duit. Cikgu dah ingatkan duit PIBG sekolah RM400 lebih tak bayar.
“Cikgu dah bagi WhatsApp bayaran tertunggak. Sebab saya memang nak bayar anak saya, niat saya hari ini,” katanya sebak.
Ujar Khairul lagi, dia sepatutnya mendapatkan pembedahan untuk sakit goutnya namun terpaksa menangguh hasrat demi mencari rezeki buat keluarga.
“Saya kerja macam ni, berniaga cari rezeki. Kalau saya masuk hospital siapa yang nak bayar rumah, tanggung keluarga semua. Jadi saya tangguhlah dulu rawatan saya tu,” katanya.
Namun apa yang tidak disangka-sangka, tindakan pengguna TikTok berkenaan yang menyumbangkan wang sebanyak RM900 kepada bapa berkenaan menyentuh hati ramai.
Menjengah ke ruangan komen, ramai yang bersimpati dengan nasib bapa itu kerana dia bertungkus-lumus berniaga demi melunaskan bayaran PIBG sekolah anaknya itu.
Ramai juga yang terkejut dan berpandangan agar pihak sekolah mempertimbangkan semula keluarga yang tidak mampu untuk menjelaskan bayaran tertunggak.
“PIBG perlu tengok sesetengah keluarga yang tak mampu, kurangkan beban kalau boleh. Saya yang tengok pun hiba,” komen Anyi.
“Semoga diluaskan rezeki pakcik ni dan keluarga. Anak- anak besar jadi orang berjaya sentiasa dalam rahmat Allah, tak lupa untuk menderma,” komen Sara.
“Bukan ke keluarga susah dikecualikan bayaran PIBG? Ya Allah curahkanlah rezeki kepada Pak Cik ni Ya Allah, amin,” komen Nora.
Baca juga: Patutlah orang Cina cepat kaya, ini rahsia simpan duit yang diamalkan turun temurun