Ketika Umno Kedah terus ‘berperang’ merebut kerusi Menteri Besar, rata-rata penoreh getah di sekitar Dun Jeneri, Sik yang ditemui Malaysia Dateline dan Parti Amanah Negara (Amanah) 22 dan 23 Januari lalu terpaksa memerah tenaga melakukan tiga hingga lima kerja dari pagi sehingga larut malam.
Tanpa peduli isu nasional seperti 1MDB mahupun sepak terajang politik semasa termasuk krisis Umno Kedah pada masa ini yang dianggap tidak memberi faedah
kepada mereka, golongan penoreh terutama secara pawah dilihat sudah lama ‘berperang’ tenaga mencari rezeki ekoran kejatuhan harga getah sejak beberapa tahun lalu.
Hasil purata menoreh sekitar RM40 hingga RM50 seminggu, yang tidak padan dengan harga barangan keperluan dan makanan, memaksa masyarakat setempat membuat apa sahaja kerja supaya mereka sekeluarga tidak berlapar.
Penduduk Kampung Pasir Putih, Ibrahim Din, 50, sanggup bersengkang mata mengetepikan rasa letih bagi sesuap nasi lantaran bosan untuk ‘mengemis’ memohon bantuan kewangan daripada pihak Baitulmal mahupun Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Malam tadi misalnya saya dari pukul 8 sampai 5 pagi kopek buah kelubi dengan upah sekilo 30 sen. Sepanjang 9 jam itu, Alhamdulillah dapatlah juga 50 kilo,” ujarnya ketika ditemui Malaysia Dateline, Sabtu lalu.
Menceritakan rutin hariannya, Ibrahim selepas menoreh getah akan mengambil upah untuk apa sahaja kerja termasuk memperbaiki bahagian rumah bergantung
pada permintaan penduduk setempat.
Banyak membantu Amanah Sik dalam menjejaki keluarga miskin tegar di Dun Jeniri, beliau dilihat beremosi dan meninggikan suara apabila ditanya tentang usaha memohon bantuan daripada pihak berwajib.
“Saya pernah beberapa tahun lepas cuba minta bantuan (jabatan) kebajikan tetapi senyap, tiada apa. Ingat kita pengemis? Sanggup saya buat macam-macam kerja daripada melangut tunggu bantuan kerajaan yang biasa mencurah tiba bila dekat musim pilihan raya,” selarnya.
Sementara itu, pada usia 56 tahun, seorang penduduk Kampung Tala dikenali sebagai Pak Long melakukan pelbagai kerja berat termasuk mengambil upah memanjat pokok kelapa dan menggali telaga.
Walaupun banyak kudrat tenaganya dicurah untuk mencari rezeki, ayah kepada enam anak ini masih tidak lokek dengan senyuman ketika berkongsikan pengalaman kerjanya kepada Malaysia Dateline.
“Dalam keadaan sekarang ini, saya tidak memilih kerja. Tidaklah benar kata kami penoreh getah ini miskin sebab malas berusaha. Saya sendiri ambil upah kutip sekerap, menebas semak dan tebang pokok. Cuma hasilnya tidaklah sama dengan kerja makan gaji di Putrajaya,” ujarnya.
Tinjauan seterusnya mendapati ada ketua keluarga yang bekerja menyembelih dan memproses ayam dengan upah yang diterima sebanyak RM40 sehari bagi
menanggung lima anak.
Selain itu, ada yang menjejakkan kaki di kebun getah seawal jam 2.30 pagi bagi mendapatkan lebih banyak susu getah kerana musim panas kering pada masa ini menyebabkan hasil susu getah merosot jika ditoreh pada waktu siang.
Selepas menoreh, terdapat antara mereka yang meredah bukit berhampiran mencari hasil hutan seperti madu lebah tualang atau rotan selain menangkap ikan di sungai berhampiran.
Golongan wanita bagi keluarga miskin penoreh getah di sekitar Sik juga didapati turut bekerja meringankan beban suami masing-masing. Selepas menoreh getah yang lazimnya selesai paling lewat jam 10 pagi, ada kaum ibu turut berusaha mencari rezeki termasuk menjadi pembantu kedai bahkan menjala ikan.
Kebetulan Malaysia Dateline dalam ziarah ke rumah penoreh getah sempena Program Peduli Rakyat anjuran Amanah Sik, 23 Januari lalu terserempak dengan
seorang ibu muda yang dalam perjalanan pulang ke rumah dengan membawa kira-kira sekilogram ikan tengas.
Diperhatikan juga jemuran potongan buah pinang di atas hamparan tikar di halaman beberapa rumah yang ditempuhi. Menurut salah seorang wanita yang ditemui, sekilogram pinang kering dapat dijual dengan harga RM5.50 sekaligus jauh lebih berharga berbanding getah sekerap dalam berat yang sama.
Bagaimana nasib warga emas, hilang upaya?
Bagi individu yang sihat mereka mampu menggunakan tulang empat kerat mencari rezeki ketika harga barangan terus melambung, tetapi bagaimana dengan nasib
warga emas dan insan yang diuji dengan hilang upaya kekal?
Tinjauan Malaysia Dateline bersama aktivis Amanah Sik dan dengan sekumpulan anggota Biro Tanah dan Pembangunan Luar Bandar Amanah diketuai Pengerusinya, Mazlan Aliman mendapati nasib mereka lebih lagi mencabar.
Warga emas di Kampung Padang Pulut, Bunga Tahar, 87, kini bergantung dengan upah hasil menjaga anak saudara sebanyak RM150 sebulan selepas tidak lagi
mendapat bantuan zakat sejak beberapa tahun lalu.
Sementara itu, Khairol Azhar Shaari, 43, yang mengalami masalah penglihatan hilang tempat bergantung selepas isterinya yang bekerja kilang meninggal dunia minggu lalu.
Beliau yang tinggal di Kampung Sungai Setar berdekatan padang ragut milik Jabatan Perkhidmatan Haiwan Negeri Kedah jelas memerlukan perhatian dan bantuan pihak berwajib supaya masa depan dua anak kecilnya tidak terjejas.