Penumpang buat hal dalam kapal terbang, MH122 terpaksa patah balik ke Lapangan Terbang Sydney

Oleh MAISARAH AISYA

Keselamatan penumpang adalah perkara penting dalam setiap penerbangan maka jika ada kekacauan berlaku pastinya ia memberi kesan kepada semua terlibat.

Sebuah pesawat milik Malaysia Airlines MH122 terpaksa berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Sydney.

Ini berikutan insiden seorang penumpang mencetuskan gangguan dalam pesawat lapor Buletin TV3.

Menerusi satu kenyataan pendek yang dikeluarkan oleh syarikat penerbangan tersebut, keputusan itu dibuat demi keselamatan 194 penumpang dan 5 kru kapal.

Pesawat berkenaan telah mendarat dengan selamat kira-kra jam 3.47 petang waktu tempatan.

“Keselamatan dan keselesaan kru dan penumpang kami adalah amat penting bagi Malaysia Airlines,” menurut kenyataan itu.

MH122 berlepas dari Sydney pada jam 1.40 tengah hari dan mendarat semula pada 3.47 petang waktu tempatan.

Satu video dimuat naik menerusi X (Twitter) oleh individu yang didakwa berada dalam penerbangan MH122.

Video tersebut menunjukkan kru penerbangan cuba menenangkan seorang lelaki yang menjerit kepada penumpang lain.

Sementara itu, Polis Persekutuan Australia menerusi media sosialnya memaklumkan pihaknya sedang bertindak terhadap kejadian kecemasan itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Sydney.

Baca juga: Patutlah orang cina jarang ‘renovate’ rumah, pemuda dedah rahsia yang tak ramai tahu