Hampir 100 orang penunjuk perasaan terdiri dari pelbagai kumpulan hak asasi manusia dan juga kesatuan sekerja berkumpul untuk melakukan demonstrasi di hadapan Kedutaan Malaysia di Jakarta, semalam.
Menerusi rakaman yang beredar di media sosial, penunjuk perasaan itu termasuklah ahli Konfederasi Serikat Pekerja Indonesia (KSPI) dan Partai Buruh dilihat turut bertindak melemparkan telur ke dinding hadapan bangunan kedutaan.
Tindakan itu dilakukan sebagai tanda protes berhubung kes tembakan membabitkan warga Indonesia di perairan Tanjung Rhu, Banting, pada 24 Januari lalu sehingga menyebabkan seorang terbunuh dan empat yang lain cedera.
Mereka turut membawa sepanduk memaparkan tulisan seperti ‘Ganyang Malaysia’ serta ‘Adili dan penjarakan polis Malaysia yang menembak mati pekerja migran Indonesia’ sebagai tanda protes berhubung kejadian itu.
Menurut media tempatan, insiden tembakan yang terjadi ketika lima warga Indonesia terbabit cuba meninggalkan Malaysia secara haram itu telah mengundang kecaman daripada pelbagai pihak di negara berkenaan.
Terdahulu, dua suspek dipercayai warganegara asing yang dilaporkan berada di atas bot didakwa cuba menyerang pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dengan menggunakan parang sekitar jam 3 pagi.
Mereka melakukan sedemikian selepas merempuh bot peronda APMM sebanyak empat kali sebelum Pegawai Maritim Malaysia melepaskan beberapa das tembakan ke arah bot suspek sebagai tindakan mempertahankan diri.
Suspek kemudian melarikan diri di dalam keadaan gelap kemudian pihak berkuasa Indonesia di provinsi Riau pada Rabu lalu dilaporkan sudah menerima jenazah warga Indonesia yang maut dikenali sebagai Basri, 50, untuk dibawa pulang ke kampungnya di Pulau Rupat, Bengkalis.
Baca juga: Wanita terbuang cincin berlian RM175k, pekerja pembersihan terpaksa selongkar 11 tan sampah