Tular di media sosial mengenai kematian penuntut sebuah universiti swasta di Cyberjaya kelmarin.
Lebih mengejutkan barangan mangsa juga dilaporkan hilang dan polis mengklasifikasikan kematiannya sebagai bunuh susulan kecederaan yang dialami mangsa lapor Berita Harian.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman memaklumkan wanita berusia 20 tahun itu disahkan meninggal dunia kerana kecederaan di kepala yang disebabkan hentakan objek tumpul.
Pihaknya dikatakan menerima laporan mengenai penemuan mayat mangsa di sebuah unit kediaman pada 10.28 pagi.
Suspek kemudian dikesan melakukan transaksi pengeluaran wang menggunakan kad pengeluaran wang automatik ATM milik mangsa selepas wanita itu dibunuh.
Pihak polis juga mengesan sekitar lima hingga enam transaksi yang dilakukan di sekitar ibu negara.
“Berdasarkan siasatan kita, suspek lelaki terbabit mula melakukan transaksi pengeluaran wang menggunakan kad perbankan mangsa tidak lama selepas mangsa dibunuh.
“Pada masa ini kita siasatan secara terperinci sedang dijalankan bagi membolehkan pihak polis mengenalpasti identiti suspek sekaligus mengesan keberadaannya,” katanya seperti dipetik Berita Harian.
Selain kad perbankan, antara barang berharga yang dilaporkan hilang adalah komputer riba, telefon bimbit dan wang tunai.
Siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan bunuh.
Baca juga: Kesian anak tak pernah dilayan baik dengan atuk nenek, hanya sebab mak ayah bukan orang ada harta