Pengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diseru untuk mengelak daripada memberikan undi yang hanya memenangkan BN.
Dalam kenyataan bersama Pengarah Komunikasi PKR, AMANAH, DAP dan Muda hari ini, pengundi terutama penyokong Perikatan Nasional (PN), Pejuang dan Warisan diharap menyedari implikasi undi mereka.
“Sambil kami hormati hak semua parti bertanding, perlu difahami, perpecahan undi antara parti-parti yang menentang BN hanya menguntungkan BN
“Jika matlamat utama semua pihak adalah untuk kalahkan BN di Johor, maka kami secara rendah hati mengesyorkan supaya semua pihak mengundi hanya calon-calon PH iaitu gabungan PKR, DAP dan AMANAH serta calon Muda.
“Seruan ini ditujukan bukan sahaja kepada mereka yang menyokong Pejuang dan Warisan tetapi termasuk juga yang menyokong Perikatan Nasional (PN),” kata Pengarah Komunikasi PKR, AMANAH, DAP dan Muda.

Menerusi kenyataan bersama itu, keempat-empat parti itu juga berpendapat kebanyakan parti bertanding pada PRN Johor sehingga berlaku empat hingga tujuh penjuru di beberapa kerusi ingin mengalahkan BN.
Sehubungan itu, mereka berpendapat undian kepada PN, Pejuang dan Warisan sebagai membazir kerana hanya memenangkan BN.
“Undi mereka akan merupakan satu pembaziran yang menguntungkan BN sekiranya undi mereka adalah untuk selain calon-calon yang menggunakan logo PH, PKR dan Muda.
“Hanya PH bersama Muda mampu mengalahkan BN,” kata kenyataan bersama Pengarah Komunikasi PKR, AMANAH, DAP dan Muda itu lagi.