Perangi rasuah agenda utama Amanah

Oleh BORHAN AHMAD

Parti Amanah Negara (Amanah) sekali lagi menegaskan komitmennya untuk mewujudkan negara yang bebas rasuah dengan menyeru ahli dan penyokong di segenap peringkat untuk terus membangkitkan isu rasuah, penyelewengan serta salah guna kuasa yang berlaku dalam negara.

Presidennya, Mohamad Sabu dalam satu kenyataan media berkata, semua pihak perlu berganding bahu memberi penerangan secara bersungguh-sungguh kepada rakyat tentang apa yang sedang berlaku dalam negara ini dan menjadikan ia sebagai subjek utama penerangan.

“Rakyat perlu difahamkan bahawa negara akan bankrap dan rakyatnya akan menjadi miskin kerana rasuah dan pemborosan oleh pemimpin negara yang terus-terusan berlaku. Yang kaya hanya pemimpin tertentu, penguasa dan pentadbir sedangkan rakyat semakin hari semakin miskin,” tegas beliau.

Menurutnya, sistem cukai yang menindas rakyat juga perlu ditentang, manakala cukai yang berpatutan perlu disokong.

Rakyat ujar beliau perlu tahu ke mana wang cukai mereka dibelanjakan dan bukan diambil untuk pemborosan dan pembaziran oleh pemimpin negara.

“Oleh itu memerangi rasuah, ketirisan dan pembaziran perlu menjadi agenda utama Amanah dan seluruh rakyat, agar kita dapat mewujudkan ‘good governance’ seperti yang telah dicontohkan oleh para sahabat dan di zaman Khalifah Umar Abdul Aziz.

“Di zaman mereka, Islam telah berjaya ditonjolkan sebagai Rahmatan Lil Alamin (rahmat untuk semua) dan AMANAH perlu mengembalikan akhlak Islam yang telah hilang itu,” ujar beliau.