Bekas suami kepada pelakon, Nora Danish iaitu Nedim Nazri kembali menjadi sorotan ramai selepas memuat naik satu hantaran di akaun Instagram miliknya.
Hantaran dibuat susulan lelaki berumur 41 tahun itu sah bercerai talak satu dengan bekas isteri pada malam Rabu selepas tujuh tahun membina mahligai rumah tangga.
Menerusi hantaran tersebut, Nedim menegaskan bahawa dirinya percaya pasti akan disatukan kembali sekiranya seseorang dipercayai Nora ditakdirkan menjadi miliknya.
“Percayalah kalau dia milikku, dia akan kembali milikku,” tulisnya menerusi ruangan kapsyen bersama tanda pagar #Neno iaitu gabungan namanya bersama Nora Danish.
Dalam perkongsian sama, Nedim yang lebih mesra disapa Bossned itu menjelaskan bahawa perceraian tersebut tidak akan mengubah hubungan baik di antara mereka.
Pemilik nama sebenar Mohamed Nedim Mohamed Nazri itu juga berkata, hubungan yang mereka miliki akan kekal dipelihara meskipun tidak lagi bergelar suami dan isteri.
“Tiada yang berubah, cuma dia bukan milikku di dalam Islam.” Kata Nedim dengan ringkas dalam satu hantaran Instagram yang dimuat naik pada awal pagi Khamis itu.
Terdahulu, pengguna media sosial dikejutkan dengan khabar bahawa pasangan dua sejoli itu sah bercerai di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur pada malam Rabu.
Dalam prosiding itu, Nedim melafazkan talak terhadap Nora sekaligus menamatkan segala spekulasi orang ramai mengenai pergolakan rumah tangga mereka sebelum ini.
Sekadar info, pasangan suami isteri yang sudah duduk berasingan sejak enam bulan lalu itu melangsungkan perkahwinan mereka dengan meriah pada 30 Mac 2017 lalu.
Hasil perkongsian hidup selama enam tahun, Nedim dan Nora dikurniakan dengan seorang cahaya mata lelaki iaitu Mohamed Neqayl yang kini berusia enam tahun.
Sebelum ini, Nora pernah berkahwin dengan Datuk Rizal Ashram Ramli atau Jejai pada 20 Jun 2006 dan dikurniakan cahaya mata lelaki, Putra Rayqal, 15, sebelum bercerai pada 2008.
Manakala Nedim pula pernah mendirikan rumah tangga dengan Nabilah Khan pada 2011 dan dikurniakan cahaya mata, Mohamed Nedrin, 12, sebelum bercerai dua tahun kemudian.
Baca juga: Pernah kena ‘scam’ sampai hilang RM1k, Bell Ngasri nasihatkan orang ramai berhati-hati