Seorang individu berjaya mencuri perhatian selepas meninggalkan komen di sebuah forum mengenai sikap perempuan yang gemar mengatur hidup suami.
Komen itu adalah reaksi individu berkenaan terhadap perkongsian seorang wanita yang dianggap ‘membuat keputusan sendiri’ dengan meminta suaminya menikah lagi.
Berikut nasihat individu yang tidak bersetuju wanita itu meminta suaminya berkahwin lain walaupun tidak dikurniakan zuriat selepas tiga tahun berumah tangga.
“Salam orang perempuan, tolonglah berhenti cipta masalah di dalam rumah tangga. Masalah yang tak wujud janganlah sengaja diwujudkan. Biar suami buat keputusan sendiri seperti mana yang ayah dan adik-beradik lelaki anda lakukan. Hormat suami dengan memberi dia ruang untuk menikmati alam perkahwinan.
“Jangan cuba mengatur kehidupan suami. Ingat, mereka bukanlah haiwan peliharaan anda. Kucing pun anda tak atur. Jadi janganlah mengatur pasangan anda. Tunjuklah sedikit rasa hormat. Mari mulakan dengan satu cerita. Kes seorang isteri tak boleh hamil selepas 16 tahun berkahwin. Isteri buat keputusan nak ambil anak angkat.
“Padahal suami kepada perempuan itu tak kisah kalau tiada anak. Kami sudah pesan jangan ambil lagi. Suami dia juga menegaskan, sanggup hidup berdua dengan isteri sahaja sampai mati. Eh, isteri tetap nak ambil juga. Lelaki itu ikut jugalah sebab sayang isteri. Selepas ambil anak angkat, isteri mula sibuk menguruskan budak itu.
“Suami pula bertambah penat kena kerja lebih masa untuk menanggung anak. Isteri pula mengamuk sebab pasangan tak tolong buat kerja rumah. Masing-masing tak cukup tidur, asyik bertengkar. Berbulan berdiam diri buat ‘silent treatment’. Akhirnya suami tinggalkan perkahwinan. Si isteri mulalah menyalahkan suaminya.
“Katanya isteri sangguplah ambil anak angkat supaya suaminya dapat merasa menjadi seorang ayah. Sampai hati suami tinggalkan isteri dengan anak angkat. Bila pulalah laki kau cakap nak jadi ayah. Kau yang terhantuk kepala dekat katil, bangun-bangun terus buat keputusan sendiri nak jadikan laki kau seorang ayah.
“Padahal suami kau tak pernah sebut pasal zuriat. Dia gembira sahaja hidup berdua dengan kau selama 16 tahun. Tengoklah hasil keputusan yang kau buat sendiri. Kes kedua pula mengenai pasangan suami isteri yang berumah tangga selama sembilan tahun. Tiada masalah ekonomi, setiap bulan isteri disediakan nafkah RM11,000.
“Kerja isteri hanyalah jaga suami dan anak-anak. Tiba-tiba buat keputusan nak berniaga pula. Sedangkan keperluan dan kehendak si isteri sudah mencukupi. Warisan dan hibah juga sudah tersedia. Suami izinkan sebab sayang walaupun isterinya ini tiada pengalaman meniaga. Apabila sudah sibuk, rumah tangga mula tak terurus.
“Isteri lebih memberi fokus kepada urusan pemasaran perniagaannya. Selepas enam bulan berlalu, beratus ribu duit sudah habis. Suami jadi tertekan dan minta isterinya berhenti meniaga. Dia tak nak. Gaduh besarlah sampai setahun lebih. Akhirnya cerai juga. Si isteri pula macam biasalah, letak kesalahan itu kepada suaminya.
“Katanya cuma meniaga untuk membantu ekonomi keluarga, tetapi suaminya yang tak tak faham. Bila masa pula laki kau suruh tolong ekonomi dia. Kepala kaulah yang tercucuk jarum peniti tiba-tiba nak meniaga. Selepas itu, merugikan wang simpanan suami. Padahal sebelum itu, hidup kau sudah cukup serba-serbi. Tengok, anehkan.
“Sebenarnya banyak lagi isu. Tetapi kepada isteri-isteri semua. Nikmati sahaja perkahwinan dengan pasangan sehabis baik. Berseronoklah berdua setiap hari. Semua perkahwinan sama sahaja, pemimpinnya adalah suami. Perempuan tak dicipta oleh Allah SWT untuk menjadi pemimpin terutamanya dalam rumah tangga.
“Kalau nak merancang sesuatu dalam perkahwinan, suami haruslah menjadi ketua di dalam perbincangan tersebut. Dia juga harus buat keputusan. Kedengaran agak berat, tetapi berkahnya juga dapat ‘berat’ (banyak). Para isteri kenalah faham, kalau perempuan yang merancang masa depan suami, akan hilang suaminya.
“Manakala perempuan yang merancang perjalanan perkahwinannya, akan hilanglah perkahwinannya. Kerana mereka tidak dicipta untuk menjadi ketua dalam satu rumah tangga. Jika terdetik dalam hati nak mengatur hidup suami ataupun rumah tangga, abaikan sahaja rasa itu. Cukuplah susun atur barang dekat rumah.
“Teruskan menyusun rempah ratus, menguruskan duit perbelanjaan, mengatur diri sendiri dan anak anak. Tak payahlah buat tugas lelaki. Kalaulah ada masalah, cakap sahaja dengan suami. Biar dia fikir dan berbincang sama-sama. Keputusan biar dia yang buat. Wanita, jangan tiba-tiba bagi anak kalau suami anda tak minta.
“Sekiranya suami tak minta kahwin lain, jangan tiba-tiba suruh dia menikah lagi satu. Jika ada anak tiri, jangan gatal-gatal nak bantu jagakan kalau suami tak suruh dulu. Sekiranya suami tak minta jaga mak dia, jangan tiba-tiba ‘offer’ diri nak bantu. Henti cipta masalah yang anda tak boleh selesaikan.” Komen individu terbabit.
Baca juga: Mahu diingati kerana bakat, bukan kontroversi, Hafidz Roshdi bersyukur dapat tawaran berlakon