“Pergi sorak sorai, balik macam ayam berak kapur”, dakwa blogger Umno

Oleh BORHAN AHMAD

Blogger dan aktivis Umno, Zaharin Mohd Yasin mendakwa, para Ahli Parlimen Umno yang bersorak sorai ketika mahu menaiki bas ke Istana Negara tetapi apabila mereka balik hanya monyok bagai “ayam berak kapur”.

Zaharin bercakap menerusi Facebook secara langsung dari PWTC.

Sehubungan itu, beliau yang membuat laporan menerusi video dari PWTC Kuala Lumpur lewat petang tadi mendakwa tidak ada mana-mana parti pun mempunyai majoriti yang cukup untuk membentuk kerajaan.

“Sebenarnya sudah ada jawapan bahawa tidak ada satu pun mana-mana parti politik secara bergabung atau secara tunggal boleh menguasai Dewan Rakyat.

“Oleh itu, sekarang terletak kepada Istana Negara untuk menentukan demokrasi di negara kita berjalan dengan baik dan lancar,” kata beliau.

Sebab itu, katanya, “sebilangan besar ahli-ahli Parlimen pagi tadi yang bersorak sorai menaiki bas ke Istana Negara tetapi balik ke tempat masing-masing semuanya seperti ayam berak kapur.”

Zaharin yang dihubungi kemudiannya mengesahkan beliau melihat sendiri muka para ahli Parlimen Umno itu ketika mereka pulang dari Istana Negara.

“Saya melihat dengan mata kepala saya sendiri muka moyok para ahli Parlimen Umno itu,” kata Zaharin kepada Malaysia Dateline.

Menurut peribahasa Melayu, ayam berak kapur bermaksud, “Muka pucat dan tidak bermaya.”

Bagi Zaharin yang juga bekas Setiausaha Umno Bahagian Bandar Tun Razak, Istana Negara mempunyai penyelesaian kepada kemelut ini.

“Saya harap Istana Negara ada penyelesaiannya,” kata beliau yang percaya penyelesaiannya adalah memilih seorang ahli Dewan Rakyat yang tidak bercita-cita tinggi dalam politik.

Yang di-Pertuan Agong memanggil ahli-ahli Parlimen dari GPS, Umno, Bersatu dan Pas ke Istana Negara mulai jam 10 pagi dengan 18 ahli Parlimen GPS dari Sarawak mendahului senarai itu manakala Ahli Parlimen dari Pas paling akhir sekali.

Sementara itu, Ketua Penerangan PKR Datuk Seri Syamsul Iskandar Md Akin berkata, Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim masih berpeluang untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.

“Semalam, kita semua sudah hantar surat akuan bersumpah (SD), proses itu diteruskan dan saya rasa kita tunggu apa pemilihan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Dari segi sokongan itu, saya fikir munasabah,” lapor Sinar Harian.