Perhimpunan teramai umat Islam selain Makkah berlangsung di Dhaka

Oleh BORHAN AHMAD

Perhimpunan tahunan yang menghimpunkan lebih dua juta umat Islam dari seluruh dunia berlangsung selama enam hari di Tonggi, Dhaka, Bangladesh – perhimpunan teramai umat Islam selain musim haji di Makkah.

Perhimpunan anggota jemaah Tabligh itu berlangsung dari 8 hingga 10 Januari bagi anggota jemaah Tabligh luar negara manakala tarikh 15 hingga 17 Januari dikhususnya bagi ahli jemaah Tabligh tempatan.

Jumlah peserta pada setiap kali himpunan berlangsung dianggarkan melebihi 2 juta orang. Bangladesh adalah antara negara yang mempunyai anggota jemaah Tabligh teramai di dunia.

Kelihatan ribuan khemah didirikan penganjur perhimpunan di lembah Tonggi DhakaJemaah Tabligh diasaskan Maulana Muhammad Ilyas (1885-1944). Beliau dilahirkan dan dibesarkan di Kandhela, India serta menerima pendidikan awal di Kuttab sekitar tahun 1896 bersama-sama abangnya Muhammad Yahya.

Sejarah kemunculan gerakan ini bermula di Mewat apabila Maulana Muhammad Ilyas menubuhkan madrasah-madrasah untuk mendidik penduduk. Namun kerana kurang mendapat sambutan maka beliau membentuk jemaah yang bertugas untuk bertabligh dan melawat tempat-tempat tertentu selama beberapa hari.

Selepas kematian abangnya iaitu Muhammad Yahya, pusat kegiatan jemaah Tabligh berpindah ke Masjid Bangle Wali, Nizamuddin, New Delhi. Semenjak itulah gerakan Jamaah Tabligh dikenali di seluruh India.

Anggota jemaah Tabligh dari Malaysia, Ghazali Mat Isa yang menyertai perhimpunan di Tonggi berkata, perhimpunan kali ini dihadiri umat Islam dari Palestin, Qatar, Arab Saudi, Iran, benua Afrika, Eropah dan Amerika.

Turut hadir para peserta dari rantau Timur Jauh dan juga Asia Tengah termasuk Rusia, Kyrgystan, Uzbekistan, Kazakhtan, China, Jepun dan Korea.

Para ulama yang hadir kebanyakannya dari India, Bangladesh dan Pakistan.

“Tujuan utama perhimpunan ini adalah untuk menyatukan umat Islam atas kerja nubuwwah.

“Jemaah akan dibentuk untuk dihantar ke seluruh dunia atas kerja baiki iman dan persediaan umat ini untuk menarik pertolongan Allah seperti mana zaman nabi dan sahabat… semuanya bagi membaiki keyakinan dan amalan terhadap Allah.

“Betulkan iman, akhlak, muamalat dan ibadat seperti kurun yang maju pada zaman kegemilangan sahabat,” ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Hari ini adalah hari terakhir perhimpunan antarabangsa Jemaah Tabligh sebelum peserta himpunan bergerak ke seluruh dunia.

Himpunan hari ini juga akan dihadiri Presiden Bangladesh, Abdul Hamid dan para duta negara-negara umat Islam.

Khemah peserta ijtimak yang berbumbungkan guni jut