Presiden AMANAH menghabiskan masa sepanjang minggu lalu bersama rakan-rakan pemimpin AMANAH di Sarawak bagi memberikan semangat kepada lapan calon mereka yang bertanding.
Beliau juga membantu kempen calon Pakatan Harapan dari PKR dan juga DAP.
Antara calon DUN Satok, Datuk Dr Nor Irwan Ahmad Nor yang juga Timbalan Setiausaha Agung PKR.
“Turut kami temui adalah Ahmad Nazib Johari, calon PKR DUN Tupong.
“Semoga mereka dapat menghasilkan kejayaan buat Pakatan Harapan, InsyaAllah,” katanya.
Sebaik tiba di Kucing pada 9 Disember, beliau yang disertai timbalan beliau, Datuk Seri Salahudin Ayub mengadakan pertemuan dengan Pengerusi AMANAH Sarawak, Abang Halil Abang Naili.
Turut serta bersama Mohamad adalah dua naib presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar, Adly Zahari dan juga Timbalan Setiausaha Agung AMANAH yang juga anak jati Sarawak, Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus.

Abang Halil kelihatan mengiringi beliau ke seluruh Sarawak bagi bertemu dengan calon-calon AMANAH yang bertanding dan juga bertemu dengan pemimpin PKR dan DAP di Sarawak.
Pada hari yang sama beliau bertemu dengan pemimpin DAP di Kucing.

Hadir sama Ahli Parlimen Stampin yang juga Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chien Jen, calon yang mempertahankan kerusi DUN Pending, Violet Yong serta Micheal Kong yang bertanding di DUN Kota Sentosa.
Beliau kemudiannya ke Demak Laut bertemu dengan calon AMANAH, Mohamad Zen Peli.
Calon AMANAH itu berhadapan dengan empat penjuru menentang calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang diwakili Dr Hazland Abang Hipni, Yatika Jelani daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan Khairul Ahmat (Bebas).
Pada tengahari harin yang sama beliau Mohamad mengunjungi Pejabat Amanah Kota Samarahan.
Di sana beliau menyantuni Daud Eli, calon AMANAH DUN Muara Tuang dan jentera parti.
“InsyaAllah jika kita kuat bekerja, kita boleh memberikan impak yang signifikan kepada Sarawak,” katanya.

Sempena kempen PRN Sarawak kali ini, Mohamad merasmikan Pejabat Parti Amanah Negara Kawasan Kota Samarahan, sekaligus menerima kemasukan 50 orang ahli baru.
“Biarpun kita bermula dengan sedikit, dengan keikhlasan dan kesungguhan, insya Allah kita boleh berperanan dengan lebih cemerlang pada masa akan datang,” katanya.
Pada petangnya beliau ke Gedong bertemu dengan calon AMANAH di sana, Cikgu Kamal.
Beliau juga bertemu mata dengan petugas serta santuni pengundi.
“Rakyat Sarawak memerlukan pembangkang yang kuat bagi mengimbangi kuasa pemerintahan yang sudah berkuku lamanya.
“Isu Tanah Adat dan kemiskinan yang membelengu rakyat harus ditangani dengan segera,” katanya.
Pada hari ketiga di Sarawak, Mohamad turut singgah santuni Leon Jimat Donald calon DUN Simanggang di RNR Temudok, Sri Aman.
Beliau kemudiannya melakukan perjalanan dalam 200 km dari Kuching ke Beting Maro, Kabong dan Sarikei.
Di Betong, Mohamad dan rombongan singgah santuni calon Parti Keadilan Rakyat bagi DUN Bukit Saban, Mikail Mathew Abdullah beserta jentera beliau.
“Kita harapkan dengan kerjasama mantap parti-parti pembangkang kita dapat menyumbang kepada pembentukan sebuah front yang disegani, sebagai semak imbang sistem demokrasi di Malaysia,” katanya.
Kemudian mereka singgah di kampung halaman Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus, Setiausaha Organisasi AMANAH di Kampung Spaoh dalam DUN Bukit Saban.
“Menikmati hidangan kampung tradisional Sarawak, yang begitu luarbiasa, hasil tangan bonda beliau yang tercinta. Sambil berehat melepaskan lelah buat seketika.
“Semoga mereka sekeluarga diberkati dan sentiasa dalam rahmat Allah,” tulis Mohamad dalam catatan perjalan beliau.

Beliau kemudian singgah di Pekan Pusa berjumpa Abang Zulkifli Abang Engkeh calon PKR DUN Beting Maro, sambil santuni petugas dan penduduk tempatan.
Beting Maro merupakan kawasan yang mencatat banyak pengalaman, di mana Abang Ahmad Kerdee pernah bertanding di kawasan ini dulu.
Begitu juga pada PRN lepas, Hud Andri bertanding atas tiket AMANAH. Pada waktu itu, untuk jangka waktu yang lama, penduduk terpaksa menaiki feri dari Pusa ke Beting Maro dan Beladin.
Dengan sokongan yang amat kuat penduduk kepada calon-calon pembangkang, lalu kerajaan Sarawak menjanjikan pembinaan jambatan, katanya.
“Sekarang ini jambatan sudah siap. Terima kasih calon-calon kita yang berjaya membangkitkan isu kepentingan rakyat.
“Kali ini, sokongan padu harus diberikan kepada Sdr Abang Zulkifli,” kata Mohamad.
Mohamad kemudian bergerak ke DUN Kabong petang itu juga, terus bergerak temui rakyat bersama jentera AMANAH Sarawak.

Bagi DUN ini, calon AMANAH Hud Andri atau nama penuhnya Andri Zulkarnaen Hamden akan berhadapan dengan tiga lagi calon daripada GPS-PBB, PSB dan PBK.
“Alhamdulillah sambutan yang kita terima agak baik dan jentera kita agak kemas di sini. Semoga Sdr Hud dapat meraih banyak sokongan,” katanya.

Selepas itu Mohamad ke Sarikei bagi menyantuni calon AMANAH Sarawak DUN Semop, Mohamad Fadillah Sabali dan jentera beliau.
“Jika kita menaiki feri ke kawasan beliau, kita akan mengambil masa sekitar tiga jam. Terima kasih kerana beliau sudi datang ke Pejabat AMANAH Tanjung Manis,” katanya.
Bagi DUN Semop, Fadillah akan bertarung dengan lima calon dari PBK, PSB, Bebas dan GPS-PBB.
“Semoga Allah permudahkan urusan kempen di kala S.O.P yang ketat,” kata Mohamad.
Mohamad pulang ke Kuala Lumpur pada 13 Disember bagi menyertai sidang Parlimen yang membincangkan Perjanjian Malaysia 1963 untuk kepentingan Sarawak.