Perjanjian antara parti parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan akan ditandatangani pada jam 3 petang ini.
Menurut Menteri Komunikasi dan Digital Ahmad Fahmi Fadzil, perjanjian koalisi tersebut bakal mengikat komponen Kerajaan secara yang lebih kukuh agar tidak mengulangi kegagalan kerajaan Pakatan Harapan terdahulu.
“Kita kena belajar apa yang berlaku 2018, mula mula semua ok, kemudian banyak yang tidak ok,” katanya dalam majlis pertemuan bersama pengamal media sosial, malam tadi.
Oleh itu beliau berkata, memorandum kerjasama antara parti parti dalam komponen Kerajaan Perpaduan amat penting terutamanya menjelang Undi Percaya 19 Disember ini, dan seterusnya untuk menggerakkan pasukan pentadbiran di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya lebih padu dan bergerak satu arah dalam menyelesaikan masalah negara.
“Kita kena rapatkan saf. Pertama dalam kalangan pimpinan politik.
“Esok (hari ini) pukul 3, semua pimpinan utama PH, BN, GPS akan duduk satu meja sain satu perjanjian koalisi yang akan mengikat kita bersama, MoU bagi semua parti.
“Bagi saya ia satu pencapaian besar dan penting, kita tahu maksud Kerajaan Perpaduan sekarang dalam kerangka berbeza (bukan kerajaan tanpa pembangkang),” katanya lagi.
Tegas Fahmi, selepas perjanjian tersebut diharapkan serangan ke atas Kerajaan akan reda dan pembangkang tidak lagi cuba menggoyahkan gabungan pemerintah.
Baca juga: Kerajaan Perpaduan bina negara, satukan sebanyak mungkin pemimpin – Fahmi