Pertubuhan Peribumi Perkasa Malaysia (Perkara) menzahirkan pertubuhan itu tidak mewakili kenyataan yang dikeluarkan oleh Majlis Perundingan Melayu (MPM) yang membuat kenyataan rasmi majlis itu untuk menyokong Perjanjian Kerjasama Trans-Pasifik (TPPA).
Setiausaha Agungnya Syed Hassan Syed Ali berkata, Perkasa tidak lagi menganggotai majlis itu sejak 2011 walaupun Perkasa adalah antara pengasas MPM pada 2010.
“Jadi apa-apa kenyataan MPM yang sering mendakwa mewakili lebih 200 NGO, adalah tidak mewakili Perkasa.
“Saya harap pihak MPM dapat senaraikan semula nama-nama NGO yang dikatakan bersama dalam MPM secara terperinci agar kita kenal NGO mana yang bersetuju dengan kenyataan MPM menyokong kerajaan menyertai TPPA.
“Kalau ada NGO yang disenaraikan oleh MPM dan tidak pernah bersetuju kerajaan menyertai TPPA,bolehlah perbetulkan atau nafikan menyokong kerajaan menyertai TPPA,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Perkasa pada Persidangan Agung kali ke-6 pada Disember lalu, telahpun melulus usul menolak TPPA.
” Wakil Perkasa kerap menghadiri sesi-sesi penerangan oleh pihak kerajaan dan pihak Bantah TPPA. Kami dengar macam-macam kebaikan TPPA yang diperjelaskan oleh Miti dan kami juga mendengar macam-macam keburukan yang telah didedahkan oleh pihak Bantah TPPA dan tokoh kenamaan serta pakar ekonomi negara.
“Perkasa akan bersikap terbuka namun buat masa dan ketika ini tetap penolak TPPA selaras dengan usul yang diluluskan oleh persidangan agung.” ujarnya.
Menurut beliau lagi, Perkasa lebih merasa bimbang dan cemas setelah mendengar hujah pihak menentang TPPA walaupun pertubuhan itu menerima penjelasan yang positif di pihak kerajaan. Justeru pertubuhan ini. dijangka akan mengadakan Sidang Meja Bulat pada Jumaat ini di Hotel Putra Jalan Tun Razak jam 3 petang.
“TTPA didapati lebih menggugat kepentingan Islam, Bumiputera dan Negara, daripada menguntungkan.
“Dengan itu Perkasa sekali lagi akan menganjurkan Sidang Meja Bulat yang akan disertai oleh beberapa orang pakar ekonomi termasuklah dikalangan mereka yang terlibat secara langsung dalam perniagaan dan industri, pihak professional dan ahli-ahli akedemik serta dari pihak Bantah TPPA.
“Perkasa sedang mendapatkan wakil Miti dan atau pihak yang pro TPPA untuk bersama dalam Sidang Meja Bulat tersebut.”ujar kenyataan itu.
Semalam MPM menyokong usaha kerajaan memeterai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) kerana ia akan membolehkan Malaysia kekal relevan dalam landskap ekonomi global.
Setiausaha Agung MPM, Datuk Dr Hasan Mad dipetik berkata, badan itu berpendapat TPPA adalah instrumen penting dalam agenda pembangunan global pada masa akan datang.Dalam pada itu, Hasan berkata MPM berhasrat menubuhkan badan pengawasan ‘TPPA Watchdog Malaysia’ dan ‘TPPA Watchdog International’ dalam masa terdekat dengan penglibatan beberapa badan bukan kerajaan dan negara-negara anggota TPPA.
Satu persidangan khas selama tiga hari akan diadakan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara bermula 26 Jan ini bagi membincangkan penyertaan Malaysia dalam TPPA.