‘Perletakan jawatan’ tidak pulihkan integriti YaPEIM kata Akmal

Oleh MALAYSIADATELINE

Pengarah National Oversight and Whistleblowers (NOW), Akmal Nasir menyambut baik pengumuman YaPEIM,  Datuk Awang Malek Awang Kechil iaitu Presiden dan Datuk Siti Zaleha Hussin, Timbalan Presiden Lembaga Pemegang Amanah institusi itu  telah meletakkan jawatan mereka dalam semua anak-anak syarikat YaPEIM. 

Turut meletakkan jawatan Ismail Mat Nasib suami kepada Datuk Hajjah Siti Zaleha juga telah melepaskan jawatan yang disandang beliau sebagai Fellow YaPEIM.

Bagaimanapun perletakan jawatan itu  belum memulihkan moral dan integriti YaPEIM. katanya.

 Akmal dalam kenyataannya hari ini, masih mempersoalkan jawatan yang disandang Wan Johan iaitu anak kepada Siti Zaleha yang dikatakan memegang enam jawatan dan beliau mempersoalkan, benarkah peruntukan Pemegang Amanah YaPeim (2015) sebanyak RM3.5juta?

Jelas  Akmal lagi, status jawatan-jawatan yang disandang oleh Wan Johan  dikatakan memegang enam jawatan masih tidak dijelaskan oleh YaPEIM.

Menurut Akmal lagi, kenyataan YaPEIM, Awang Malek dan Siti Zaleha masih mengekalkan kedudukan mereka sebagai Presiden dan Timbalan Presiden Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM.

Ini berdasarkan penyata kewangan yang diterbitkan dalam buku Bajet YaPEIM 2014 dan buku Bajet YaPEIM 2015, perbelanjaan Lembaga Pemegang Amanah adalah dirujuk:-

Penyata Kewangan bagi tempoh berakhir 31 Disember 2013 menunjukkan jumlah perbelanjaan bagi perbelanjaan Lembaga Pemegang Amanah bagi tahun 2012 adalah RM 498,725.00 dan tahun 2013 adalah sebanyak RM 665,316.00

Manakala penyata kewangan bagi tempoh berakhir 31 Disember 2014 dan juga anggaran untuk perbelanjaan bagi tahun 2015 menunjukkan perbelanjaan Lembaga Pemegang Amanah tahun 2014 adalah RM 2,617,264.00 dan tahun 2015 dianggarkan sebanyak RM3.5juta.

“Ini menunjukkan peningkatan perbelanjaan untuk Lembaga Pemegang Amanah dalam tempoh hanya 3 tahun sebanyak 7 kali ganda.

“Walaupun terdapat penambahan terma ‘Panel’ dalam Belanja Lembaga antara tahun 2013 dan 2014, apakah jawatan tambahan yang diwujudkan dan siapakah mereka yang menerima manfaat ini?

“Mengapa elaun tetap/kehadiran bagi tahun 2012 dan 2013 hanya sekitar RM 300 ribu tetapi bagi tahun 2014 mengalami peningkatan sehingga RM 1.76 juta dan tahun 2015 dianggarkan memakan kos RM 2.26 juta?

“Adakah benar elaun jamuan dan keraian yang dibelanjakan bagi tahun 2013 hanya RM 3,608 tetapi meningkat sebanyak 55 kali ganda kepada RM 201,960 bagi peruntukan tahun 2015?,”soal Akmal.

Memandangkan mereka yang memegang jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM masih mengekalkan kedudukan mereka,Akmal mendesak Menteri di Jabatan Perana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom menilai dan mengkaji perkara yang dibangkitkan NOW.

“Seperti yang dikemukakan sebelum ini, ahli-ahli Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM bagi tempoh 1 Januari 2014 sehingga 31 Disember 2016 adalah dilantik atas nasihat Menteri sendiri.

“Pencarum pasti mahukan penjelasan mengapa peningkatan yang begitu ketara bagi perbelanjaan Lembaga Pemegang Amanah dan mengapa perbelanjaan yang begitu tinggi diperlukan oleh mereka.

“Yang pasti, usaha dan niat kita adalah untuk mengangkat moral dan integriti Yayasan ini sekaligus memartabatkan pembangunan Ummah,” ujarnya.