Perlu jalani pembedahan, ini keadaan mangsa dalam MPV dilanggar bas bawa pelajar UPSI

Oleh MALAYSIADATELINE

Negara baru-baru ini dikejutkan dengan satu kemalangan melibatkan sebuah bas dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, Perak pada awal pagi Isnin lalu.

Dalam kemalangan tersebut, seramai 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terkorban selepas bas yang membawa mereka pulang ke kampus di Tanjung Maling itu terbabas selepas melanggar MPV jenis Perodua Alza.

Laporan demi laporan yang dikeluarkan oleh pihak media telah membuatkan orang ramai tertanya-tanya mengenai khabar terbaharu berhubung keadaan mangsa di dalam MPV tersebut selepas kemalangan berlaku.

Memetik laporan Berita Harian, pemandu MPV berkenaan iaitu Mohd Lutfi Radzi memberitahu dirinya masih belum bersedia untuk menceritakan sepenuhnya kejadian yang berlaku itu setakat ini.

Bapa berusia 37 tahun terbabit juga masih terkejut kerana kemalangan berlaku ketika berada dalam perjalanan balik bersama keluarga setelah menyambut Aidiladha di rumah mentuanya di Terengganu itu agak kuat sehingga dirinya tidak tahu apa yang terjadi.

Ketika kejadian, Mohd Lutfi memandu pulang ke Parit Panjang, Baling, Kedah bersama isteri, Nurul Ain Zakaria, 36, serta dua anak mereka, Nur Aisyah Nafishah Mohd Lutfi, 6, dan Muhammad Ahsan Nafis Mohd Lutfi yang kini berusia dua tahun.

“Saya masih teringat-teringat kejadian yang berlaku pada hari itu. Tetapi saya tak mampu komen banyak. Seorang dari anak tercampak keluar dari keretanamun saya bersyukur kerana kami semua selamat.

“Yang saya ingat sebelum kejadian, saya bersembang dengan isteri sebelum kemalangan berlaku,” katanya yang kini berada di Hospital Baling memetik laporan Berita Harian.

Menurut Mohd Lutfi, isteri serta dua anak masih berada di hospital berikutan memerlukan rawatan namun semakin baik serta stabil dan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang datang berkunjung dan memberikan sokongan.

Difahamkan, pasangan suami isteri berkenaan bekerja sebagai guru yang mana Mohd Lutfi bertugas di Sekolah Kebangsaan (SK) Malau di Baling manakala isterinya pula mengajar di SK Tembak.

Dalam pada itu, Pakar Ortopedik Hospital Baling iaitu Dr Asri Zuzairudin Mohd Ali memaklumkan anak sulung pasangan terbabit iaitu Nur Aisyah mengalami patah paha di bahagian kanan dan perlu menjalani pembedahan dalam masa terdekat.

Nurul Ain yang merupakan isteri kepada Mohd Lutfi pula didapati patah tulang rusuk namun kini semakin beransur pulih namun masih lagi memerlukan pemantauan rapi di hospital.

“Keadaan Mohd Lutfi serta anak bongsunya, Muhammad Ahsan Nafis Mohd Lutfi pula semakin stabil. Kesemua mereka masih dirawat di sini (Hospital Baling).” Ujarnya ketika memberitahu perkembangan terbaharu mengenai mangsa dalam MPV itu.

Baca juga: ‘Kau tu lelaki dah tua’ – Penyanyi baru dedah jadi mangsa gangguan seksual bekas pengurus