Tidak syak lagi, keperluan sangat mendesak supaya Pakatan Harapan diperkukuh sekukuhnya dan diterima kewujudannya oleh semua negeri dan pelbagai pihak.
Ertinya tidak ada lagi pilihan lain untuk menjadi pembangkang yang kuat.
Oleh itu tidak timbul lagi pelbagai kekeliruan, malah mimpi dan igauan serta bayangan kononnya Pakatan Rakyat masih wujud atau masih berfungsi.
Berulang kali ditegaskan oleh pimpinan Pakatan Harapan (PH) bahawa Pakatan Rakyat sudah tidak lagi wujud, walaupun ia telah mencapai kejayaan cemerlang seperti yang dibuktikan dalam dalam dua PRU yang lalu.
Pakatan pembangkang yang ada sekarang ini hanya Pakatan Harapan – seperti yang dipersetujui oleh PKR, DAP dan Amanah dalam majlis perisytiharan oleh pemimpin parti itu bulan lalu.
Oleh itu, semua negeri mestilah menerima hakikat ini dan elakkan sebarang kekeliruan persepsi dan sebagainya. Tentulah tidak ada lagi pihak yang kurang yakin atau keberatan menerima hakikat kewujudan Pakatan Harapan.
Sekiranya masih ada tanggapan yang mengelirukan seumpama itu, maka ia hanya akan mengurangkan sokongan rakyat pelbagai kaum terhadap pakatan baru pembangkang ini.
Pakatan Harapan boleh mencapai kemenangan dalam PRU akan datang, bahkan prestasinya mungkin akan lebih cemerlang dari Pakatan Rakyat yang lalu, jika kedudukan Pakatan Harapan dilihat begitu kukuh, padu dan boleh meyakinkan rakayat.
Sepanjang yang saya tahu pendukung Parti Amanah Negara, walaupun baru dipersada politik tanah air dan telah menjadi komponan dalam Pakatan Harapan, telah memaksimakan usaha mereka untuk menarik sokongan rakyat pelbagai kaum.
Usaha ini nampaknya berhasil.
Program mereka hampir setiap hari diseluruh negara, termasuk di Kelantan dan Terengganu, dua negeri yang majoritinyaa adalah Melayu.
Di semua negeri itu, Amanah sedang menampakkan wajahnya yang menarik perhatian ramai. Ia dilihat sebagai parti golongan progresif dan terbuka, tetapi berpaksikan Islam.
Parti ini berusaha menterjemahkan Islam sebagai rahmat seluruh alam, melindungi semua kaum.
Di sinilah dilihat Amanah mempunyai kemampuan besar untuk membantu memperkukuh Pakatan Harapan bersama PKR dan DAP.
Dengan kukuhnya Pakatan Harapan saja, pihak pembangkang mempunyai peluang untuk menguasai koridor kuasa di Putrajaya dalam PRU akan datang.
Dalam PRU yang lalu, Pakatan Rakyat telah mendapat 51% peratus undi popular dan berjaya menafikan dua pertiga majoriti BN di Parlimen.
Oleh itu dengan komposisi yang ada dalam pakatan baru pembangkang, tidak mustahil ia akan mendapat kejayaan lebih besar dari itu dalam PRU akan datang.
Saya fikir dengan kematangan politik pimpinan Pakatan Harapan, kesepaduannya dan dengan tertubuhnya Majlis Presiden serta Sekretariat Pakatan Harapan, maka segala peraturan, disiplin parti komponan dan sebagainya dapat memperkukuh gabungan baru pembangkang itu.
Saya percaya, tidak akan ada lagi di mana segala keputusan di dalam mesyuarat peringkat tinggi Pakatan Harapan itu boleh ditafsirkan sendiri sewenang-wenang oleh mana-mana komponannya.
Ertinya tidak akan berlaku lagi langkah bersendirian dari mana-mana pemimpin parti komponannya, setelah mesyuarat peringkat tinggi itu mengambil keputusan.
Lebih-lebih lagi mesti diyakini sepenuhnya bahawa tidak akan ada lagi pakatan pembangkang yang lain selain dari Pakatan Harapan.
Jika ada tanggapan seperti itu, maka ia hanya akan melemahkan kedudukan Pakatan Harapan.
Rakyat sangat peka untuk melihat kesepaduan pembangkang dalam pelbagai isu negara. Malah mereka sedang meletakkan harapan tinggi kepada Pakatan Harapan untuk mencapai kemenangan besar dalam PRU akan datang.
Sementara itu, perlulah diakui bahawa demografi pengundian dalam PRU akan datang sangat berbeza dengan dua pilihan raya yang lalu.
Dengan berkurangnya pengundi luar bandar, iaitu kurang dari 25% menurut sebuah kajian, maka aliran pengundi bandar yang sangat besar jumlahnya itu dilihat boleh memberi kelebihan kepada Pakatan Harapan. Justru kerana parti seperti DAP, PKR dan Amanah, lebih banyak berligar di bandar atau semi bandar, terutama di Selangor, Pulau Pinang, Johor dan beberapa negeri lagi.
Tidak akan ada parti politik, walau mendakwa segagah manapun, yang mampu bertanding sendiri dalam pilihan raya. Jika ada kepercayaan seperti itu, maka itu hanya khayalan pengembara di gurun pasir, yang memandang fatamorgana sebagai kilauan air, lalu sang pengembara berlari untuk mendapatkannya, tetapi akhirnya mendapati hanya kilaian debu pasir, bukan air.
Oleh itu hanya gabungan parti pembangkang – Pakatan Harapan – yang berpotensi untuk menjadi kerajaan alternatif jika menang dalam PRU akan datang.
Di kalangan komponan Pakatan Harapan itu sendiri mesti mempunyai keyakinan penuh kepada gabungan pembangkang yang baru ini, iaitu hanya melalui pendekatan ini saja maka kemenangan boleh dicapai.
Sebarang pemikiran yang memperlihatkan kurang yakin atau tidak menerima hakikat ini, akan melumpuhkan harapan untuk menang dalam PRU akan datang. Ertinya tidak ada cara lain yang boleh mencapai kemenangan yang diharapkan melainkan melalui Pakatan Harapan.
Trend pengundianpun semakin berubah dari masa lalu di mana pengundian berasaskan kaum dan agama, semakin berkurangan, walapun masih wujud di luar bandar.
Rakyat semakin sedar akan kepincangan kerajaan yang ada sekarang dari pelbagai segi, terutama kepincangan ekonomi.
Kehidupan rakyat yang semakin tertekan dengan pelbagai cukai, harga barang yang terus naik, jurang miskin kaya yang semakin meluas dan lain-lain, menyebabkan rakyat sedang mencari-cari parti yang boleh menggantikan kerajaan yang ada sekarang dalam PRU akan datang.
Maka itu Pakatan Harapan tentulah menjadi perhatian rakyat dan mereka mulai menggantungkan harapan kepada gabungan baru ini – melalui pilihanraya – untuk menyelamatkan keadaan.