Permintaan Musang King menurun, durian Damak King pula menjadi rebutan

Oleh KIM SYAZIE

Isi yang enak dan berlemak menjadi faktor Damak King muncul sebagai pesaing buah durian paling popular di Malaysia iaitu Musang King.

Dikatakan mendominasi pasaran durian di Pahang, pembekal Damak King juga menerima tempahan yang tinggi dari penggemar raja buah.

Selain mempunyai rasa yang lebih manis, penurunan kualiti Musang King juga menjadi punca peminat beralih kepada Damak King.

Durian premium itu tidak memerlukan penjagaan yang rumit dan kualitinya juga tidak terjejas akibat perubahan cuaca.

Turut menjadi pilihan tanaman di kalangan pekebun durian, buah yang berbentuk bulat itu mampu bertahan selama tiga hari selepas gugur.

Difahamkan, buah keluaran Kampung Damak yang terletak di Jerantut, Pahang itu dijual dengan harga antara RM35 hingga RM55 sekilogram.

Bagaimanapun, permintaan yang meningkat secara mendadak membuatkan bekalan buah itu tidak mencukupi, lapor Kosmo!.

Penjual dan pemborong durian damak, Ahmad Mustapha berkata buah itu turut diburu oleh penggemar dari luar Pahang termasuk Johor dan Terengganu.

“Permintaan kali ini memang agak luar biasa. Setakat ini tempahan saya terima untuk tiga hari telah penuh dan saya tidak lagi dapat menerima tempahan.

“Pada masa ini hanya ada 16 pokok Damak King yang berbuah menyebabkan hasilnya tidak banyak sedangkan permintaan tinggi,” katanya.

Terdahulu, durian Musang King dilaporkan tidak dapat dieskport ke luar negara setelah mengalami kerosakan akibat penyakit.

Durian Musang King yang gugur didapati memiliki isi yang sedikit keras dan berwarna hitam.

Baca juga: Ramai marah bil elektrik melambung dua kali ganda, bukan salah TNB tapi ini yang jadi