Pernah dipenjara selama 8 bulan sebab dadah, Tony Eusoff terkenang tangisan mak

Oleh MAISARAH AISYA

Saban tahun ada sahaja kes artis yang terjebak dadah, tidak kira pelawak, penyanyi mahupun pelakon.

Terkenang kembali peristiwa silam, pelakon Tony Eusoff kongsi kisahnya yang pernah dipenjara selama lapan bulan disebabkan dadah pada tahun 2016.

Menurut Kosmo! Online, Tony menganggap ia sebagai titik terendah hidupnya, apatah lagi sudah mengecewakan hati si ibu.

“Saya rasa sangat bersalah terhadap ibu saya. Masa ibu hantar saya ke lapangan terbang dan peluk buat kali terakhir sebelum dipenjara, air mata saya menitis.

“Sebagai anak, tiada apa lebih menyedihkan selain melihat ibu menangis kerana perbuatan kita sendiri.

“Itu yang buat saya sedar dan berazam menjadi lebih matang,” katanya seperti dipetik Kosmo! Online.

Pelakon berusia 48 tahun itu mengakui resah untuk berhadapan dengan masyarakat namun mengakui salah dirinya sendiri.

“Ada yang cakap saya dianiaya, tapi hakikatnya itu kesalahan sendiri. Tiada siapa boleh dipersalahkan. Saya hanya teruskan hidup dan hadapi segalanya.

“Ketika nak keluar, saya rasa risau dengan penerimaan orang. Tetapi, ada individu tidak dikenali datang memberi semangat.

“Bagi saya, orang Malaysia mudah menyayangi dan memaafkan, asalkan kita berusaha memperbaiki diri,” tammbahnya.

Pada masa sama, Tony berharap masyarakat tak cepat menjatuhkan hukum terhadap individu yang terjebak dadah.

“Jangan cepat menilai. Tunggu sehingga kes selesai, mungkin ada sebab mereka buat begitu. Kadang-kadang tekanan hidup mendorong seseorang ke jalan salah.

“Kita bukan Tuhan, selagi kita tak baik mana, jangan hakimi orang lain. Biarkan undang-undang menentukan,” tegasnya.

Baca juga: Penyanyi ‘bea soba bea’ makin ceria, dah ada kelab peminat sendiri di penjara Narathiwat