Demi memiliki iPhone dan iPad baharu, seorang remaja China pernah menjadi bualan hangat kerana menjual buah pinggangnya pada tahun 2011.
Namun selepas lebih sedekad, keputusan itu memusnahkan hidupnya.
Remaja berusia 17 tahun ketika itu, Wang Shangkun, berasal daripada keluarga kurang berkemampuan.
Ingin kelihatan mewah, dia menjual buah pinggangnya kepada sindiket organ haram dengan harga kira-kira RM13,000.
Dengan wang tersebut, Wang membeli iPhone 4 dan iPad 2. Malah dia pernah berkata dengan yakin, “Kenapa saya perlukan dua buah pinggang? Satu sudah cukup.”
Namun beberapa bulan kemudian, kesihatannya mula merosot akibat pembedahan yang dilakukan di klinik tidak bertauliah dengan peralatan tidak bersih.
Jangkitan kuman menyerang sehingga merosakkan buah pinggang yang tinggal.
Kini, pada usia awal 30-an, Wang disahkan sebagai orang kurang upaya (OKU) kekal.
Dia terpaksa menjalani rawatan dialisis sepanjang hayat, sering sakit, tidak mampu bekerja dan kebanyakannya hanya terlantar di atas katil.
Kisahnya menjadi pengajaran tentang risiko besar apabila obsesi terhadap trend dan status sosial mengatasi kesihatan.
Wang sendiri mengakui tindakannya menjual buah pinggang demi gajet adalah penyesalan terbesar dalam hidupnya.
Baru-baru ini, laporan dari Thailand mendakwa ada remaja di negara itu yang sanggup meniru tindakan sama untuk mendapatkan iPhone 17.
Persoalannya, adakah mereka akan mengambil iktibar daripada nasib Wang Shangkun?