Pernah selamatkan Maya Karin daripada lemas 16 tahun lalu, Saiful Apek kongsi detik cemas

Oleh MAISARAH AISYA

Siapa sahaja tidak ingat akan filem tahun 2008, Duyung yang menggandingkan pelawak Saiful Apek dan pelakon Maya Karin.

Berkisarkan tentang duyung, kebanyakan aksi dilakukan Maya adalah dalam air dan pastinya ada kejadian tidak diingini.

Mengimbau kembali kejadia lemas 16 tahun lalu, Maya menyifatkan Apek sebagi hero dalam dan di luar filem lapor Kosmo! Online.

“Banyak kejadian yang saya tidak pernah dedahkan. Maya pernah tersangkut bawah jaring di tengah laut ketika penggambaran Duyung dahulu.

“Saya selamatkan dia dengan sepenuh hati dan memang agak bergelut dengan masa disebabkan keadaannya yang mengalami sesak nafas.

“Apabila dapat selamatkan, sampai sekarang Maya cakap saya bukan hero dalam filem sahaja tetapi hero dia,” katanya seperti dipetik Kosmo! Online.

Apek berkongsi detik cemas tersebut dan mengakui niatnya berada lama di sekitar kawasan penggambaran menjadi asbab dia boleh membantu Maya.

“Masa itu waktu maghrib babak dia terperangkap dalam jaring. Adegan itu pula memang kena habiskan hari kejadian sebab Maya perlu pulang keesokan harinya.

“Kebetulan saya tiada babak tetapi mahu habiskan oksigen dalam tangki yang tinggal sedikit dan bermain-main di sekitar pulau.

“Apabila saya ternampak keadaan dia seperti bukan lakonan sebab dia dah berbuih dan dalam kelemasan, saya pun pergi dekat dengan dia.

“Saya cuba tarik rambut dia sebab klip di rambut palsunya terlalu banyak dan tersangkut pada jaring. Apabila boleh lepas saya tolak dia ke atas tetapi ada botol di dasar laut menghalang dia untuk ambil udara,” ujarnya.

Baginya kejadian tersebut boleh menyebabkan trauma namun hormat akan Maya yang tetap meneruskan tanggunjawab dengan membawa watak tersebut.

“Orang dekat atas memang tengah tunggu Maya tidak naik. Ada pasukan keselamatan yang tunggu di bawah tetapi memandangkan syot luas jadi mereka perlu duduk jauh dan tak nampak apa terjadi.

“Apabila sudah bawa naik ke atas, Maya jerit kuat sangat dan semua kru panik. Saya boleh anggarkan dalam lima minit juga dia berdepan situasi cemas itu.

“Kejadian ini memang buat saya dan dia trauma tetapi saya terkejut apabila dia masih terima watak ini, kalau saya dah fobia.

“Boleh dikatakan insiden itu macam mimpi ngeri untuk kami semua,” jelasnya.

Baca juga: Netizen tuduh Siti Nurhaliza tak ada ‘job’ sebab hari-hari buat ‘live’?